KUCHING: “Tak menang tangan saya dulu, sehingga pada satu tahap saya rasa sangat letih dan enggan lagi beroperasi sedangkan penumpang masih ramai yang menunggu perkhidmatan kami untuk menyeberangi sungai Sarawak.”
Demikian luahan Abang Safian Abang Mat, 61, tahun yang berasal dari Kampung Sourabaya Hilir, Kuching berkongsi pengalamannya ketika beroperasi membawa perahu tambang sebelum musim pandemik Covid-19.
Sepanjang Covid-19 melanda dan tiada pelancong dibenarkan untuk memasuki negeri ini, dia dan rakannya (pengusaha perahu tambang) yang lain terpaksa menggunakan sistem penggiliran sesama diri bagi mendapat hasil pendapatan.
“Kami terpaksa menggunakan sistem penggiliran untuk berlaku secara adil sekali gus memastikan tiada yang terkesan hilang punca pendapatan harian.
“Sistem ini berfungsi dengan contohnya saya mula mengayuh membawa penumpang dari pagi sehingga petang pukul 2 petang, dan kemudian dia (rakannya) pula akan mula membawa perahu dari pukul 3 sehingga malam dengan membawa penumpang terakhir,” ujarnya.
Akuinya lagi, pendapatan hariannya terjejas sebanyak 80 peratus disebabkan tiada pelancong yang menggunakan perkhidmatan perahu tambang berkenaan.
“Kalau dulunya, kita tidak mengharapkan penduduk saja, peluang daripada pelancong untuk menyeberangi sungai sudah mencukupi untuk menampung perbelanjaan dari segi kos minyak dan upah pendapatan harian kami.
“Pendapatan harian kami kini terpaksa juga kami harapkan sepenuhnya daripada penumpang yang terdiri daripada penduduk kampung disini dan bekerja sama ada di pusat membeli belah dan kedai runcit setiap hari,” jelasnya.
Justeru, dia berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan gelembung pelancongan di Sarawak, dengan beberapa syarat ketat kemasukan prosedur operasi standard (SOP) agar mereka dapat menjana semula pendapatan seperti dulu daripada pelancong ke negeri itu.
“Kita sokong usaha kerajaan untuk melaksanakan gelumbung pelancongan di beberapa destinasi negeri, akan tetapi SOP yang ketat perlu dilaksanakan agar ia adalah satu keputusan yang tepat untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, bagi pengusaha perahu tambang, Haili Birin, 56 tahun turut akui sama menggunakan sistem pengiliran untuk bertolak ansur sesame diri mereka.
“Sejak pandemik Covid-19, kami gunakan sistem penggiliran ini untuk bertolak ansur kerana masing-masing diantara kami mahu cari makan (sumber pendapatan) dan tidak dapat mengharapkan sepenuhnya kepada bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan,” ujarnya.
Haili turut berharap supaya kerajaan dapat mempertimbangkan kebenaran pelancong ke negeri itu bagi menjana semula pendapatan mereka.
“Kalau dulu sehari kami (pengusaha tambang) dapat RM300 sehari, sekarang pendapatan kami tidak sampai RM50 sehari dan belum termasuk bayaran minyak lagi,” katanya.
Kini, hanya empat buah perahu tambang yang beroperasi di sepanjang tebingan Waterfront Kuching setiap hari dengan membawa muatan penumpang yang rata-ratanya penduduk di Kampung Gersik, Petra Jaya untuk pergi bekerja sama ada di Pusat Membeli Belah mahupun di pejabat kerajaan dan swasta.- UTUSAN ONLINE