Sarawak terus giatkan program penghijauan bumi - Utusan Malaysia

Sarawak terus giatkan program penghijauan bumi

ABANG Johari Tun Openg (dua, kanan)melancarkan Le Tour De Restoration (Greening Sarawak's Campaign) Jabatan Hutan Sarawak sempena sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Srawak 2021 di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan terus mempergiatkan usaha untuk menghijaukan bumi negeri ini menerusi pelaksanaan program restorasi landskap hutan dan menyokong perlaksanaan Kempen Penghijauan Malaysia 2021 hingga 2025.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin usaha-usaha yang dilaksanakan dapat memastikan proses pembangunan negeri ini seimbang dengan pengekalan kelestarian alam sekitar bagi mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan negeri  memperuntukkan sebanyak RM62 juta kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) untuk melaksanakan program-program restorasi di seluruh negeri, dan tahun ini sebanyak RM10 juta telahpun disalurkan kepada jabatan tersebut.

Di samping itu, katanya Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia (KeTSA) turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM10.37 juta, iaitu RM4 juta bagi Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok dan RM6.37 juta bagi Program tanaman pokok bakau dan Program Restorasi Melalui Perhutanan Sosial (SOSIL kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan pada tahun ini.

“Sebagai sokongan kepada perlaksanaan Kempen Program Penghijauan Malaysia, kerajaan negeri melalui JHS telah menyasarkan untuk menanam sebanyak 35 juta pokok bagi tempoh lima tahun bermula tahun ini 2021 sehingga tahun 2025.

“Oleh itu kita peru menanam sekurang-kurangnya tujuh juta pokok setiap tahun dan kita yakin dapat mencapai sasaran penanaman ini kerana pada tahun lepas kita berjaya menanam sebanyak 10, 452,607 pokok, manakala untuk tahun ini sehingga hari ini (30 September) sebanyak 6.78 juta pokok telahpun ditanam di seluruh negeri Sarawak,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas melancarkan Le Tour De Restoration (Greening Sarawak’s Campaign) JHS sempena sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Srawak 2021 di sini hari ini.

Abang Johari menambah, sebagai memperkasakan program restorasi hutan di Sarawak, JHS telah mengetengahkan projek yang dikenali  sebagai Seed Ball yang memudahkan aktiviti penanaman pokok terutama sekali di kawasan-kawasan yang sukar dimasuki seperti kawasan berbukit.

Menurut Abang Johari, setiap bebola benih berkenaan yang disalutkan dengan biji benih pokok boleh mencapai kadar percambahan sehingga 90 peratus selepas tujuh hingga 14 hari selepas ditabur menggunakan dron.

Beliau berkata kos penyediaan bebola biji  lebih murah berbanding dengan kaedah lain sambil beliau menggesa semua agensi perhutanan dan pihak-pihak yang berkepentingan untuk bekerjasama bagi menjayakan Kempen Penghijauan Sarawak terutama untuk memperkasakan inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pencarian spesies pokok tempatan yang berkualiti tinggi dan mempunyai kadar pertumbuhan yang cepat serta tahan tehadap serangan penyakit dan seranga perosak.

Abang Johari berkata bagi memastikan program restorasi mencapai matlamatnya, elemen penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diperkasakan dan menggesa  kerjasama pintar antara JHS dan Universifti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dilaksanakan dengan segera bagi mewujudkan hab penyelidikan perhutanan di Sarawak.

“Sebagai sokongan, kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan khas  kerjasama ini nanti,” katanya.

Menurut Abang Johari program penanaman pokok atau kempen menghijaukan bumi Sarawak merupakan satu daripada teras yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak bagi mencapai status negeri maju pada tahun 2030, iaitu melestarikan alam sekitar.

Katanya, kerajaan negeri inginkan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan adalah seiring dengan pengekalan kelestarian alam sekitar.

Oleh itu, beliau berkata program restorasi landskap hutan ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi, di samping mengekalkan kelestarian alam sekitar.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya