Sampah sarap cemari pantai Port Dickson - Utusan Malaysia

Sampah sarap cemari pantai Port Dickson

MOHD. Hazmi Abd. Halim, 37, mengutip dan mengumpul sampah-sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung ketika ditemui Utusan Malaysia di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson, semalam.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Ibarat tempat pembuangan sampah. 

 

Begitulah keadaan pantai Port Dickson yang dicemari dengan sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung selepas dibuka kepada orang ramai hujung minggu lalu.

 

Selepas berbulan-bulan ditinggalkan sepi, persekitarannya yang bersih sebelum ini tercemar dengan bekas-bekas makanan dan minuman serta pelitup muka milik pengunjung berselerakan sehinggakan mencacatkan pemandangan pantai peranginan tersebut. 

 

Perbuatan tersebut jelas menunjukkan sikap tidak prihatin soal kebersihan dalam kalangan pengunjung yang masih dangkal tentang isu kebersihan dan kebertanggungjawaban.

 

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah pantai di daerah ini mendapati terdapat sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung sekali gus mencacatkan pemandangan pantai peranginan negara ini.

 

Tin dan botol minuman, bekas makanan polisterin, pembungkus plastik dan pelitup muka merupakan sampah sarap yang ditemui berselerakan di sepanjang pantai berkenaan.

 

Seorang pengunjung, Mohd. Hazmi Abd. Halim, 37, dari Nilai, Seremban berkata, dia turut terkejut melihatkan terdapat banyak sampah sarap ketika bersiar-siar di pantai Bagan Pinang.

 

“Selepas daftar keluar dari hotel hari ini, saya dan keluarga bersiar-siar sebentar di sini, namun terkejut apabila melihat sampah sarap banyak di sini.

 

“Memang menyakitkan mata, jadi saya turut bantu mengutip sampah-sampah di sini. Sayang kalau keindahan pantai dicemari dengan pemandangan begini, orang ramai sepatutnya membantu menjaga alam sekitar, kebenaran sudah diberi untuk melancong tapi sikap tidak berubah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

 

Tinjauan di Pantai Saujana dan Pantai Telok Kemang di sini pula mendapati keadaan sebaliknya apabila keadaan pantai-pantai tersebut kelihatan bersih berkemungkinan ia telah dibersihkan oleh pihak berwajib lebih awal.

 

Sementara itu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dalam kenyataan memberitahu, sejak pantai Port Dickson dibuka kepada pengunjung pada 4 September lalu, perjumpaan telah dilakukan bersama pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) berhubung isu kebersihan di pantai.

 

“Kami telah meminta pihak SWM Environment membuat penambahan tong sampah di kawasan pantai tumpuan utama dan pihak SWM akan menyediakan seramai 78 orang pekerja bagi menjalankan tugas pembersihan di kawasan sepanjang pantai sebanyak dua kali sehari di 15 buah pantai manakala dua pantai yang kurang menjadi tumpuan akan dibersihkan tiga kali seminggu.

 

“Pihak MPPD menasihatkan orang ramai untuk  menjaga kebersihan pantai dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berkunjung ke Port Dickson,” kata kenyataan itu lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN