PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dilantik sebagai penasihat khas kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Ia dinyatakan dalam direktori kementerian berkenaan yang boleh diakses melalui laman web.
Selain Rosnah, seorang lagi penasihat khas Menteri Kesihatan turut dinamakan dalam direktori itu iaitu Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.
Rosnah memegang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan pada 2009 hingga 2013 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau kemudian beralih portfolio sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dari 2013 hingga 2018 sebelum kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Khairy dilantik Menteri Kesihatan dalam Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr. Adham Baba menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. – UTUSAN ONLINE