RMK12: Umum prestasi setiap enam bulan - Utusan Malaysia

RMK12: Umum prestasi setiap enam bulan

RMK-12 bakal menentukan hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dan ukuran prestasi bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) perlu dilakukan secara berkala dan dilaporkan kepada orang awam sekurang-kurangnya setiap enam bulan.

BAHAROM ABDUL HAMID

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, hebahan umum itu mengingatkan kerajaan terhadap rancangan yang belum, sedang dan akan dilakukan.

Katanya, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga separuh penggal atau mencapai tempoh lima tahun untuk melaporkan hasil perancangan yang dirangka.

“Sehingga kini, kita tiada kayu ukur sejauh mana RMK-12 atau rancangan sebelum ini akan berjaya. Jika merujuk rancangan-rancangan terdahulu, walaupun kerajaan ada perancangan yang baik namun dari segi pelaksanaan dan ukurannya masih perlu diperbaiki.

“Penilaian harus dilakukan secara berkala mengenai apa yang perlu dilakukan, sejauh mana kejayaan itu boleh dicapai. Jika tidak berjaya apa pula yang perlu dilakukan serta cabaran dalam menghadapinya. Budaya pengukuran dan penilaian inilah yang harus dikekalkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, RMK-12 juga sepatutnya mencerminkan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2020-2030 dengan mengimbangi serta merapatkan jurang pendapatan antara kaum dan wilayah yang berbeza.

“Corak pendapatan berbeza antara kaum bukanlah baharu malah ia sudah kritikal sejak 1969. Selepas itu wujud beberapa dasar untuk menaikkan ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) tetapi belum mencapai matlamat dan ketidakseimbangan pendapatan masih berlaku,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini yang memberi tumpuan kepada pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara impak pandemik Covid-19 sekali gus menjadi rancangan pertamanya sejak menggalas tugas sebagai ketua kerajaan.

IDA MD. YASIN

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md. Yasin pula berkata, rancangan Malaysia kali ini perlu menumpukan kepada usaha menangani ketidaksepadanan pekerjaan dan pendapatan bagi pekerja terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Menyorot indeks daya saing digital global, katanya , graduan Malaysia dalam bidang sains adalah paling ramai dan berada di kedudukan pertama namun tidak semua berpeluang mendapat pekerjaan selaras dengan bidang yang dipelajari, malah dibayar dengan gaji rendah.

“Pekerjaan yang ditawarkan juga adalah bukan berteknologi tinggi. Bagaimana mungkin kita mahu mencapai negara maju jika aspek buruh yang berpengetahuan ditawarkan dengan pekerjaan tidak setimpal?

“Selain itu, sudah pasti RMK-12 ini perbelanjaannya untuk sektor kesihatan lebih tinggi berbanding RMK yang sebelumnya. Pada masa sama, ia harus memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya