Polis marin mengaku tak bersalah ambil dadah - Utusan Malaysia

Polis marin mengaku tak bersalah ambil dadah

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis marin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan penyalahgunaan dadah, akhir bulan lalu.

Mohd. Khalil Che Khalid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Tertuduh yang telah berkhidmat 17 tahun sebagai anggota polis didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam dirinya.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 11.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Mohd. Kalil didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Terdahulu, Mohd. Khalil membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan namun selepas dinasihatkan dia menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Difahamkan jika  dia mengaku salah, dia akan dibuang kerja dan kehilangan wang pencen atas perkhidmatannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman memohon tertuduh diberi jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh dalam rayuannya memberitahu, dia kini sudah digantung tugas dan tidak mempunyai pendapatan, selain perlu menanggung seorang isteri dan dua orang anak.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jamin berjumlah RM2,000 dengan seorang penjamin, selain turut menetapkan tarikh 7 November untuk serahan dokumen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN