KOTA TINGGI: Lebih setahun tidak beroperasi, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang, di sini menanggung kerugian ratusan ribu ringgit apabila chalet yang diusahakan persatuan sunyi tanpa kehadiran pengunjung.
Pengerusi PNK Pengerang, Abu Bakar Mohamad berkata, Nelayan Beach Resort yang terletak di Kampung Baru, Teluk Ramunia adalah sumber ekonomi utama bagi persatuan tersebut melalui aktiviti perkhemahan dan perkelahan pengunjung.
Katanya, chalet yang mempunyai 24 buah bilik itu mampu meraih sehingga RM12,000 sebulan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selain perniagaan minyak dan menjual peralatan pukat serta jaring sebagai pendapatan, PNK Pengerang bergantung kepada chalet tersebut yang pada awalnya hanya memiliki 13 buah bilik.
“Melihat kepada sambutan diterima daripada pelancong, kami menambah lagi kemudahan di chalet berkenaan dengan harapan mendapat lebih keuntungan buat persatuan.
“Bagaimanapun, kami kini runsing dengan kerugian ditanggung dan pada masa sama masih perlu mengeluarkan kos bulanan bagi membayar gaji pekerja dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Ujar Abu Bakar, mereka faham situasi tersebut bukan sahaja hanya berlaku kepada PNK Pengerang, namun boleh dikatakan para pengusaha di seluruh negara berdepan keadaan sama apabila tidak boleh menerima pengunjung.
“Kami harap Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat membantu melonjakkan kembali ekonomi kami.
“Malah, kami juga berharap sekiranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dapat memberi sedikit suntikan dana buat persatuan untuk kami bangkit semula dari kerugian ini,” katanya.
Sementara itu, kata Abu Bakar, jumlah nelayan yang turun ke laut di kawasan itu juga semakin berkurangan ekoran rata-ratanya sudah menjangkau usia emas dan tiada kudrat untuk keluar menangkap hasil laut seperti dahulu.
“Jika dahulu nelayan ada 43 bot tetapi sekarang berkurangan sehingga tujuh kerana rata-rata nelayan warga emas tidak larat untuk ke laut lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE