KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mengalu-alukan dana pembangunan yang diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, tidak pernah dalam rancangan Malaysia sebelum ini memberikan tumpuan seperti itu kepada Sabah dan Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Isu-isu MA63 antara fokus dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beliau secara peribadi akan memantau segala pelan pelaksanaan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, RMK-12 merupakan komitmen kerajaan terhadap negeri-negeri kurang membangun, terutama di Sabah dan Sarawak.
“Ucapan yang komprehensif dan padat itu dirumuskan dengan baik oleh Perdana Menteri yang memberi tumpuan lebih diberikan kepada negeri-negeri yang kurang membangun,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga komited untuk menyelesaikan permasalahan dan tuntutan yang tertunggak seperti yang termaktub dalam MA63.
Katanya, menerusi RMK12 juga, kerajaan persekutuan komited menyelesaikan pembangunan dan keperluan asas di Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut katanya, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) akan segera menubuhkan unit pemantauan bersama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi memastikan pelan pelaksanaan infrastruktur dilaksanakan selaras dengan matlamat MA63. – UTUSAN ONLINE