LIPIS: Seorang pembantu operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Betong, dekat sini maut terkena renjatan elektrik ketika membuat kerja pencucian di struktur loji tersebut di Kampung Bukit Betong dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, Roslan Ngah, 57, mula bertugas membaiki injap ‘penstock’ LRA di situ yang rosak dipercayai terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia pada pukul 1 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, polis menerima panggilan daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Bukit Betong melaporkan seorang lelaki berusia 50-an meninggal dunia di kawasan LRA Bukit Bentong akibat terkena renjatan elektrik.
“Polis dimaklumkan ketika kejadian mangsa bersama seorang rakannya berada dalam loji untuk menjalankan kerja pencucian dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik yang dipercayai mengalir dalam air loji tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan naik ke atas apabila melihat kejadian itu pekerja lain mematikan suis utama elektrik dan mengangkat mangsa naik ke atas dengan memberi bantuan pernafasan (CPR).
Ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Bukit Betong dan dihantar ke Hospital Lipis untuk tujuan bedah siasat.- UTUSAN