SHAH ALAM: Cubaan dua beranak Indonesia melindungi ketua keluarga mereka daripada dicekup gagal apabila lelaki itu ditemukan bersembunyi dalam almari baju, semalam.
Dalam serbuan Imigresen Selangor, seorang wanita dan anaknya memaklumkan lelaki tersebut tiada di rumah mereka di sekitar Klang kerana bekerja di Johor.
Pemeriksaan menyeluruh bagaimanapun berjaya mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) itu dan kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, tiga beranak itu antara 22 PATI berusia dua hingga 47 tahun yang dicekup menerusi serbuan bermula pukul 11 malam tadi.
Menurut beliau, operasi enam jam itu disertai 11 pegawai dan anggota penguat kuasa yang mensasarkan beberapa kediaman warga asing di sekitar Klang.
“Hasil pemeriksaan ke atas 26 individu mendapati 22 daripada mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua mereka melibatkan 18 warga Indonesia manakala selebihnya empat warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohamad Shukri, kesemua PATI itu bekerja sebagai buruh binaan, kilang dan pembersihan dengan menyewa rumah teres papan di sekitar daerah berkenaan.
“Hasil siasatan turut mendapati antara mereka sudah lebih dua tahun menetap di negara ini.
“Kita akan mengesan pemilik rumah sewa atau pelindung kepada PATI itu untuk dikenakan tindakan termasuk didakwa di mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN