MELAKA: Dua bulan ‘terkurung’ sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh, pusat tumpuan pelancong di Pantai Puteri, Tanjong Kling dekat sini kembali ceria.
Orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk beriadah.
Kebebasan yang sememangnya ditunggu-tunggu itu dimanfaatkan, apabila kerajaan memberikan kelonggaran bagi sektor ekonomi dan sosial negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, jalan raya di situ mula sesak, tidak seperti bulan-bulan sebelum ini.
Di kawasan pantai kelihatan anak-anak berlari-lari, para peniaga gerai di tepi jalan tumbuh bagai cendawan, meraih rezeki selepas sepi tanpa kehadiran orang ramai.
Seorang pengunjung, Alia Sukarni, 27, berkata, dia teruja dapat beriadah di Pantai Puteri bersama tiga anaknya berusia antara dua tahun hingga tujuh tahun selepas terperap lama di rumah.
Dia yang tinggal di Bukit Cheng di sini berkata, peluang membawa anak-anak beriadah adalah saat paling ditunggu-tunggu.
“Macam burung bebas bila dapat kelonggaran tempat riadah seperti di Pantai Puteri sudah boleh beraktiviti. Saya kesian anak-anak selalu mengajak keluar tetapi keadaan tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, bagi Khairul Mohamad, 30, dari Pulau Gadong pula, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu dengan kembali menjalankan aktiviti memancing.
“Sudah terlalu lama saya duduk di rumah. Nak pergi mana tak boleh apatah lagi memancing.
“Selepas diberi kelonggaran, saya dan tiga rakan ke Pantai Puteri untuk melepaskan gian memancing,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Kamaruddin Jamal, 45, dari Sungai Udang bersyukur melihat kawasan itu kembali ceria dan mengakui sudah boleh menarik nafas
lega.
Dia yang menjual air balang dan goreng pisang berkata, sejak hujung minggu lalu suasana di sini pulih seperti sedia kala.
“Alhamdulillah, sebelum ini berniaga nak cari RM50 sehari pun payah. Tetapi sekarang bukan saya sahaja, tetapi peniaga lain di sini boleh tersenyum sikit,” katanya. – UTUSAN ONLINE