Musim tanam padi tergendala, air sawah tak cukup - Utusan Malaysia

Musim tanam padi tergendala, air sawah tak cukup

SHAIFUL Ahmad menunjukkan keadaan petak sawahnya yang kering akibat kekurangan bekalan air untuk memulakan penanaman padi musim baru di Kuala Kurau dekat Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Pesawah di Parit Abas dan Parit Mat Ali di Kuala Kurau dekat sini tidak dapat memulakan penanaman musim baru kerana tidak menerima bekalan air secukupnya.

Mereka mendakwa air  sepatutnya dialirkan ke kawasan mereka menerusi tali air, terlebih dahulu telah diambil oleh pesawah lain.

Ia berlaku apabila segelintir pesawah di kawasan lain mengambil air dari terusan Tali Air 74  di sini dan memulakan musim penanaman padi lebih awal, bukannya mengikut jadual yang ditetapkan oleh Jabatan Pertanian.

Akibatnya, air yang disalur oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui terusan, tidak sampai ke petak sawah di Parit Abas dan Parit Mat Ali.

Lebih membimbangkan jadual pengairan untuk penanaman padi di kawasan sawah berhampiran yang sepatutnya diterima pada 7 September lalu, namun air masih tidak mencukupi untuk pesawah memulakan tanaman  padi.

Wakil pesawah, Shaiful Ahmad,37, berkata,  mereka telah merujuk masalah itu kepada JPS dan dimaklumkan ia bukan berpunca daripada jabatan itu yang menyalurkan air di kompatmen C, di sini.

Malah, menurutnya, JPS sudah menyalurkan air yang cukup melalui TA74 untuk kegunaan pesawah di kompatmen C seperti yang dijadualkan.

“Di kawasan Parit Abas dan Parit Mat Ali, kami sepatutnya menerima bekalan air pada 7 hingga semalam namun pelik apabila air yang disalur ke palong 74R2, 74L2 dan kawasan sekitarnya tidak sampai, malah air yang masuk ke palong kami tidak sampai 0.5 meter.

“Keadaan ini membimbangkan pesawah yang terlibat kerana sudah lewat daripada jadual menanam yang ditetapkan.

“Kami harap pihak berkaitan segera melihat dan menyelesaikan masalah ini,” katanya ditemui pemberita di Kuala Kurau dekat sini hari ini.

Menurutnya, masalah itu telah diadukan kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau untuk tindakan.

Malah semalam dia bersama ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan wakil JPS telah membuat rondaan kawasan di TA 74.

Jelasnya, berdasarkan tinjauan, ketiadaan air di kawasan mereka disebabkan tindakan segelintir pesawah yang membuka pintu air di R8, R9, L12, L13 dan L14 untuk memulakan musim penanaman padi lebih awal berbanding jadual asal iaitu pada 16 September ini.

“Tidak dapat dipastikan bila mereka berbuat demikian namun tinjauan mendapati ada di antara pesawah sudah menabur padi, lebih mengejutkan beberapa pintu air dirosakkan.

“Jabatan Pertanian dan JPS perlu tegas dan ambil tindakan bagi memastikan kompartmen C mendapat bekalan air mencukupi bagi memulakan penanaman padi seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, beliau akan berjumpa dengan JPS untuk membincangkan jalan penyelesaian sesuai.

“Ini termasuk cadangan membuat penyelarasan semula bagi menyalurkan bekalan air di kawasan sawah yang terlibat,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya