Meer Nash ketengahkan muzik asal Saranghae - Utusan Malaysia

Meer Nash ketengahkan muzik asal Saranghae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Meer Nash, 25, nekad membawakan semula lagunya yang berjudul Saranghae dalam versi demo asal meski sedar mungkin ada kalangan pendengar dan peminat yang tidak boleh menerimanya.

Menurut Meer atau nama sebenarnya, Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul, ia adalah satu percubaan yang berbeza kerana berpendirian setiap lagu memiliki kekuatan dan aura tersendiri.

“Bagi saya lagu ini ada ‘roh’ yang sama, cuma berbeza jiwa. Saya tulis lagu ini pada tanggal 20 Ogos tahun lalu. Hari sama juga saya rakam versi ‘demo’ di Soundfuse Studio. Ia sangat istimewa dan ada nilai sentimental. Liriknya saya tulis bersama Bella Iris.

“Saya fikir kenapa tidak dilancarkan juga versi ‘demo’ ini. Setidak tidaknya boleh saya kongsi perjalanan dan momen menulis lagu ini dengan peminat. Mana tahu, perkongsian sebegini boleh memberi inspirasi kepada penulis lagu atau artis.

“Saya masih ‘hijau’ tapi itu tidak bererti kita tidak boleh mencetuskan ilham kepada orang lain. Saya fikir pengalaman itu tetap berharga tak kira bagaimana laluannya,” katanya.

Selain itu, kata Meer, langkah ini juga dilakukan kerana dia enggan ‘mencemari’ versi asal lagu berkenaan dan mengelak rakaman semula dilakukan untuk penambahbaikan.

“Saya selesa mengekalkan aroma sentuhan asal. Saya rakam ketika itu hanya bertemankan gitar dan sekali ‘take’. Saya alunkan dengan gaya akustik yang sederhana dan secara ‘live’.

“Masa itu, banyak melodi dan lirik yang belum pasti lagi. Memang nampak macam sedikit huru hara’. Tapi niat saya hanya nak rakam demo tanpa meletakkan apa apa jangkaan pun.

“Ia ibarat apa yang kita dengar kali pertama, begitulah bunyinya. Ia boleh saya katakan juga lebih jujur. Kalau dengar versi saya lancarkan Jun lalu, semuanya nampak sempurna apabila ditambah baik,” katanya.

Berkongsi lanjut, Meer yang baru-baru ini turut merakamkan lagu Seribu Tahun dendangan asal Imran Ajmain mendedahkan Saranghae bukanlah lagu pertama yang diciptanya kerana sebelum ini pernah menulis beberapa buah lagu lain.

Dalam pada itu, penyanyi ini mahu meyakinkan peminat dan pengikutnya bahawa Saranghae bukan penamat kepada minat dan kesungguhannya mencipta lagu.

“Saya sedang merencana single seterusnya yang masih belum ada judul. Baru 30 peratus siap. Kalau sesuai, mana tahu saya boleh minta Universal Music pertimbangkannya. Setakat ini ada empat lagu termasuk Saranghae yang saya cipta. Selebihnya, saya fikir lebih baik peram saja. Nak jual dan ketengahkan pun tak yakin.

“Tapi saya tidak pernah melihat apa saja perkara sebagai penamat untuk terus berkarya. Selagi mampu berkongsi apa yang tersimpan dalam hati dan diluahkan ke dalam bentuk lagu, pasti saya lakukannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya