PORT DICKSON: Orang ramai di negeri ini mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa keluarga masing-masing ke daerah ini untuk berkelah termasuk menikmati hidangan makanan laut.
Ia selepas Negeri Sembilan beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), baru-baru ini.
Tinjauan di Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dekat sini kelmarin mendapati, rata-rata pengunjung datang dalam kunpulan besar termasuk anak-anak kecil dan warga emas.
Seorang pekerja kedai ikan bakar, Siti Noraini Abu Bakar, 49, berkata, pelanggan tidak putus-putus datang bersama keluarga sejak medan ikan bakar itu dibuka pada pukul 5 petang.
“Rasa bersyukur sangat apabila kerajaan membenarkan semula rentas daerah dan restoran dibenarkan menerima pelanggan makan di kedai.
“Kedai kembali dibuka selepas lebih tiga bulan ditutup dan sambutan sangat baik. Pelanggan tidak kisah menunggu lama asalkan dapat makan hidangan ikan bakar dan makanan laut segar di sini,” katanya ketika ditemui.
Menurut Siti Noraniah, bekalan makanan laut segar seperti ikan kerapu, siakap, cencaru sotong dan udang diperoleh dari Pasar Port Dickson dijual pada harga berpatutan.
Sementara itu, seorang pelanggan, Muhammad Faisal Ab. Wahid, 38, dari Seremban berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu membawa anak-anak keluar mengambil angin dan makan ikan bakar selepas sudah lama tidak ke mana-mana.
“Sebelum ini hanya berkurung di rumah, jadi apa salahnya kita bawa anak-anak keluar makan angin.
“Tetapi yang penting kena sentiasa jaga prosedur operasi standard (SOP) dan beringat untuk sanitasi tangan bagi elakkan jangkitan,” katanya yang menunggu lebih satu jam sebelum dapat menikmati hidangan dipesan.
Bagi seorang lagi pengunjung, Mohammed Nizar Mohammed Hafidz, 35, walaupun pendemik covid-19 belum berakhir, orang ramai masih boleh membawa keluarga ke pusat peranginan di Port Dickson dengan mengamalkan norma baharu.
“Sudah lama keluarga tidak ke Port Dickson menikmati makanan laut di sini, jadi apa salahnya kita membantu menaikkan semula ekonomi pengusaha kedai yang terjejas sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE