Masuk hutan demi capaian internet - Utusan Malaysia

Masuk hutan demi capaian internet

SITI Hajar Kamarudin (kanan) dan adik-beradiknya mengikuti sesi PdPR dalam pondok di Kampung Seberang, Tanjung Buloh, Lipis, Pahang, semalam. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Pepatah menyebut, ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

Begitulah kecekalan tiga beradik perempuan masuk hutan yang jaraknya satu kilometer dari rumah mereka demi mendapatkan capaian internet.

Siti Hawa Kamaruddin, 19, Siti Hajar, 17, dan Siti Nurrestu, 15, berulang alik setiap hari ke hutan Kampung Seberang, Tanjung Buluh dekat sini bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di sebuah pondok yang dibina ihsan daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.

Ini kerana kawasan rumah mereka dan kampung tersebut tidak mempunyai capaian internet yang baik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Hawa yang kini me­nuntut dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di Universiti Kolej Yayasan Pahang berkata, mereka bertiga berulang-alik ke pondok yang dibina dalam hutan lebih kurang satu kilometer setiap hari mula pukul 8 pagi hingga 1.30 tengah hari tertakluk jadual sesi PdPR masing-masing.

“Bapa menasihatkan kami bertiga ke pondok ini untuk belajar walaupun salah seorang atau berdua antara kami ada ketikanya tidak ada sesi PdPR, malah saya sendiri perlu ditemani oleh adik memandang­kan sesi kuliah diadakan setiap hari.

“Pada mulanya pondok kami hanya beratapkan plastik, tetapi mujurlah anggota polis dari IPD Lipis bermurah hati membina sebuah pondok papan tanpa dinding yang agak kukuh untuk memuatkan kami bertiga. Terima kasih kepada IPD Lipis kerana prihatin de­ngan kebajikan dan keselamatan kami,” katanya dekat sini, semalam.

Bagi Siti Hajar pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit, Lipis, setiap kali hendak ke pondok hatinya mula bimbangkan keselamatan mereka.

“Maklum sahajalah suasana dalam hutan sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini sama ada daripada manusia atau haiwan liar.

“Mahu tidak mahu kami bertiga melangkah ke pondok ini walaupun pernah berdepan cuaca hujan lebat kerana pelajaran lebih diutamakan lantaran keluarga pula susah dan bapa seorang bekas pengawal tempatan tanpa pencen,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Nurrestu menambah, ada ketika­nya mereka ditemani ibu, Khadijah Hamid, tetapi tidak lama kerana perlu kembali ke rumah untuk menyediakan makan tengah ha­ri untuk mereka di pondok.

“Hampir dua tahun berdepan dengan ancaman pandemik Co­vid-19 dan berulang alik ke pondok ini berasa sungguh perit dan memenatkan berbanding de­ngan rakan di tempat lain cukup selesa menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi.

“Apa pun saya reda dengan ujian Allah SWT dan tidak sabar lagi untuk hadir ke sesi persekolahan terbuka pada bulan de­pan kerana lebih selesa berban­ding belajar di pondok,” katanya.

Bapa tiga pelajar itu, Kamarudin Li, 54, berkata, dia terharu melihat kesungguhan anaknya belajar dengan mengetepikan pe­rasaan takut berada di pondok dalam hutan kampung ter­sebut.

“Mujurlah tiga beradik ini tidak pernah berdepan kejadian yang tidak diingini dan mereka pulang dengan selamat menjelang pukul 2 petang setiap hari.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor bersama anggota IPD Lipis bergotong-royong menyiapkan pondok tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya