Masih bimbang ziarah kubur - Utusan Malaysia

Masih bimbang ziarah kubur

PIHAK pengurusan jenazah Masjid Al-Huda di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang membersihkan kawasan perkuburan itu yang masih lengang meskipun orang ramai kini dibenarkan menziarahi kubur waris masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Orang ramai di negeri ini masih diselubungi kebimbangan untuk melakukan aktiviti ziarah kubur waris masing-masing berikutan kes harian penularan jangkitan pandemik Covid-19 yang mencecah 1,000 kes.

Tinjauan Utusan Malaysia di tiga lokasi tanah perkuburan Islam di Daerah Barat Daya dan Timur Laut pagi semalam mendapati, tiada sebarang kunjungan waris atau ahli keluarga melainkan pihak pengurusan kubur berkenaan.

Berdasarkan tinjauan tersebut, aktiviti ziarah kubur dikatakan hanya berlaku di lokasi tanah perkuburan berhampiran kawasan perkampungan yang terletak di tepi laluan penduduk dan masjid.

Penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara, Falizan Md. Tahir berkata, bilangan penduduk yang menziarahi pusara waris didapati kurang daripada lima orang setakat petang kelmarin.

Menurutnya, biarpun kerajaan membenarkan rakyat menziarahi kubur, orang ramai di daerah ini masih takut berbuat sedemikian ekoran kes penularan pandemik itu termasuk melibatkan kematian di negeri ini masih tinggi.

“Setakat semalam (kelmarin), jumlah pengunjung pada sebelah pagi didapati tidak ramai dan yang datang pun adalah muka (penduduk) sama,” katanya di sini.

Menurut Falizan, pihaknya memastikan setiap pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum masuk ke kawasan perkuburan.

Sementara itu, seorang waris, Siti Ropidah Mahmud, 67, berkata, belum masa sesuai untuk menziarahi pusara suaminya yang meninggal dunia empat tahun lalu.

“Sebelum ini, memang saya tidak pernah melepaskan peluang menziarahi pusara suami yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang, setiap minggu.

“Namun, disebabkan faktor usia, saya perlu lebih berjaga-jaga dengan virus bahaya ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya