PETALING JAYA: Orang ramai perlu memohon kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ingin mengunjungi Pulau Langkawi, Kedah, bermula 16 September ini.
Ini setelah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri mengumumkan pulau peranginan itu boleh mula dikunjungi pelancong domestik yang memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) dari seluruh negara, termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun, katanya, kebenaran itu tidak terpakai kepada mereka yang sedang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Pengunjung perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit hotel atau resit pakej pelancongan semasa memohon kebenaran dengan PDRM dan ketika diminta oleh penguat kuasa agensi pematuhan SOP,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Nancy juga menjelaskan, pelancong mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat.
“Bagi jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi, manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan dari negeri Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, mereka tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya.
Selain itu, kata Nancy, terdapat beberapa SOP yang perlu dipatuhi sebelum melancong ke Langkawi iaitu pertama adalah terhad kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksinasi.
“Kedua, jenis percutian yang dibenarkan ialah secara harian (pergi dan pulang pada hari yang sama), bermalam, percutian dengan tempahan penginapan/tiket masuk yang telah dibuat terlebih dahulu, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan kementerian.
“Ketiga, bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut. Keempat, pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis,” katanya.
Tambah beliau, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke Pulau Langkawi manakala individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.
Selain itu, katanya, perlindungan insuran serta saringan Covid-19 juga adalah tidak diwajibkan, namun pihak kementerian akan membuat pemantauan berhubung pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi dan akan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program ini secara keseluruhan dalam tempoh masa dua minggu.
“Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan tindakan lanjut, seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti selaras dengan aspirasi kementerian.
“Kementerian menggesa kepada orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke Pulau Langkawi supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan agar Gelembung Pelancongan Langkawi ini kekal hijau dan seterusnya dapat merealisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik di masa akan datang,” katanya.
Orang ramai boleh merujuk aktiviti-aktiviti Gelembung Pelancongan Langkawi yang dibenarkan menerusi laman sesawang www.motac.gov.my atau www.mkn.gov.my. – UTUSAN ONLINE