ALOR SETAR: Kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, dekat sini hanya diteruskan di kawasan-kawasan yang dikeluarkan lesen sebelum ini tanpa ada sebarang kelulusan baharu oleh kerajaan negeri sekarang.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebarang tindakan untuk menghentikan aktiviti pembalakan oleh syarikat-syarikat terlibat hanya mendatangkan implikasi undang-undang kepada kerajaan negeri.
Begitu pun katanya, tindakan meneruskan aktiviti pembalakan di Ulu Muda itu telah dipastikan untuk mematuhi beberapa syarat ditetapkan.
“Antara syarat tersebut adalah pembalakan dibuat perlu bersandarkan kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) ditetapkan Majlis Tanah Negara. Untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Majlis Tanah Negara telah menetapkan CCT seluas 4,200 hektar setahun.
“Selain itu, pembalakan juga dijalankan dengan kaedah mesra alam sekitar menggunakan sistem ‘log fisher’. Sistem ini tidak memerlukan pembentukkan laluan untuk kenderaan membawa keluar balak seperti kaedah konvensional, sekali gus mengelakkan lebih banyak pokok terpaksa ditebang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang Jitra) yang bertanyakan mengenai rasional kerajaan negeri meneruskan aktiviti pembalakan di Ulu Muda dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi menambah, syarat ketiga yang ditetapkan adalah menambah dan menetapkan zon penampan kawasan pembalakan terhadap alur sungai dari 20 meter ke 40 meter.
“Untuk makluman di Ulu Muda saja ada 25,000 hektar kawasan pembalakan yang telah diluluskan oleh kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini manakala di seluruh Kedah pula sebanyak 75,000 hektar.
“Dengan penetapan CTT seluas 4,200 hektar setahun oleh Majlis Tanah Negara, itu bermakna kita penebangan kesemua 75,000 hektar itu perlu mengambil masa 18 tahun untuk dihabiskan,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi menjelaskan, ketika ini kerajaan negeri sudah pun menggariskan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 seperti pembangunan projek berimpak tinggi dan perbandaran baharu lestari serta mampan bagi memberi impak positif terutamanya bagi mewujudkan peluang pekerjaan.
“Keadaan ini juga akan menyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Justeru kita berharap aktiviti pembalakan ini akan menjadi punca hasil terakhir kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE