Kandang ternak 100 ekor lembu digenangi air - Utusan Malaysia

Kandang ternak 100 ekor lembu digenangi air

MOHD. Aliffi Abu Khairi bersama ternakan lembu di kandangnya yang dinaiki air di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi, Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Hujan lebat awal pagi kelmarin bukan sahaja menyebabkan beberapa rumah penduduk dilanda banjir, malah kandang ternakan milik seorang pengusaha muda di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi turut dinaiki air sehingga paras lutut.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan pemiliknya, Mohd. Aliffi Abu Khairi, 31, apabila kira-kira 100 ekor lembu yang diternaknya kini berada di dalam air selepas lebih 48 jam sejak kawasan itu berdepan banjir.

Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan urusan jual beli dengan pelanggan, lebih merisaukan Mohd. Aliffi ialah keselamatan haiwan ternakannya itu yang terlalu lama berada di dalam air.

“Walaupun sebelum ini berlaku banjir seperti ini, kali ini lebih buruk kerana sudah lebih dua hari air belum menunjukkan tanda-tanda surut disebabkan kedudukannya yang berhampiran dengan Sungai Hulu dan Sungai Ayer Baloi.

“Sekiranya hujan lebat lagi dan berlaku banjir lebih teruk, saya bimbang lembu-lembu ini akan dijangkiti kuman jika ada luka-luka pada kaki,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.

Mohd. Aliffi berkata, selain ternakannya, makanan lembu termasuk daun jagung dikisar, dedak dan mesin pam yang digunakan untuk mencuci kandang serta mesin pengisar jagung turut ditenggelami banjir.

“Saya khuatir lembu-lembu ini tidak mendapat makanan yang mencukupi jika tidak digantikan yang baharu dengan kadar segera,” katanya yang mengambil alih perniagaan itu daripada bapanya, Abu Khairi Hanafi sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Aliffi berkata, dia turut menternak 100 ekor kambing, namun mujur kedudukan kandang haiwan itu berada lebih tinggi tetapi ia tetap menyukarkan urusan dengan pelanggan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian bersiap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan berlakunya banjir di daerah itu disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pengerusi JPBD Pontian, Mohd. Raffi Abdullah berkata, ekoran hujan lebat sejak tengah malam kelmarin, beberapa rumah di kawasan rendah telah dinaiki air terutama pada bahagian dapur serta bahagian ruang tamu kediaman penduduk.

Katanya, antara lokasi yang dikesan terjejas melibatkan tiga buah rumah di Kampung Jawa Ulu, masing-masing empat rumah di Kampung Ayer Baloi dan Kampung Jasa Sepakat serta lima buah di Kampung Paya Embun Pekan Nanas.

“Memandangkan keadaan Covid-19 ketika ini, urusetia di PPS perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi mengelak jangkitan,” ujarnya yang juga Pegawai Daerah Pontian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya