ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari Nilai, Negeri Sembilan disahkan positif Covid-19 setelah tiga hari berada di Langkawi pada 26 September lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, siasatan awal dijalankan mendapati jangkitan terhadap kanak-kanak tersebut mungkin berlaku sebelum dia bersama keluarganya datang ke pulau legenda itu.
Katanya, kanak-kanak tersebut tiba bersama ibu dan ayahnya ke Langkawi pada 24 September 2021, pukul 7.30 malam dengan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).
“Pada 25 September, kanak-kanak itu mula mengalami demam dan dibawa mendapatkan rawatan sehari selepas itu. Siasatan mendapati selain daripada ibu dan ayahnya, terdapat tiga lagi saudaranya yang merupakan penduduk tempatan Langkawi, menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak tersebut.
“Kesemua mereka termasuk ibu dan ayah kanak-kanak itu telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan diberi arahan kuarantin selama 10 hari. Hasil ujian saringan itu mendapati semua kontak rapat adalah negatif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, sebelum ini ibu dan ayah kanak-kanak itu sudah mendapat vaksinasi lengkap dengan mereka juga disahkan tidak menghidapi Covid-19 atau menjadi kontak rapat mana-mana kes sebelum berlepas ke Langkawi.
Malah katanya, ujian saringan kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan air liur dijalankan terhadap pasangan tersebut sebelum menaiki penerbangan di KLIA 2 turut mengesahkan mereka negatif Covid-19.
“Dimaklumkan kanak-kanak ini tidak mengalami gejala sebelum perjalanan dan semasa saringan kesihatan di KLIA2.
“Difahamkan, kanak-kanak itu juga sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di KLIA2, dalam penerbangan dan semasa berada di Langkawi,” katanya.
Menurut Othman, sehingga kini siasatan lanjut dan pengesanan kontak rapat masih diteruskan.
“Sehingga kini hanya satu kes positif dilaporkan melibatkan pelancong ke Langkawi dan tiada penularan melibatkan ahli keluarga dan penduduk tempatan. Keadaan pesakit adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 di Langkawi,” ujarnya. – UTUSAN