Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands untuk kenderaan ringan sahaja - Utusan Malaysia

Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands untuk kenderaan ringan sahaja

SAARANI Mohamad melawat lokasi runtuhan jalan di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Laluan Persekutuan FT185 dari  Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands mungkin hanya dibuka untuk kenderaan ringan sehingga cerun di Kilometer 43.9 hingga Kilometer 44 yang runtuh itu siap dibaiki dalam masa tiga tahun.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Zulkipli Nasri berkata, siasatan lanjut dan perbincangan dengan Cawangan Cerun dilakukan untuk menambah baik jalan sementara di lokasi kejadian dan melihat metodologi yang digunakan.

“Saya lihat tepi ini ada jalan sementara semasa kerja-kerja pembaikan cerun sebelum ini. Jadi kita akan gunakan jalan tersebut dan buat penambahbaikan untuk buka kepada kenderaan ringan.

“Kita cuba beri khidmat kepada pengguna jalan raya khususnya aktiviti ekonomi dan pelancongan yang baru dibuka, sekurang-kurangnya kenderaan ringan dibenarkan untuk guna jalan ini,” katanya selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad meninjau lokasi runtuhan jalan sepanjang kira-kira 30 meter, di sini semalam.

Zulkipli berkata, laluan sepanjang 600 meter yang terjejas itu dibuat penjajaran semula bagi memastikan kestabilan cerun, sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, peruntukan RM130 juta disediakan kerajaan bagi pembinaan jajaran baharu itu selain kerja-kerja baik pulih dan pembaikan cerun.

“Kalau kita lihat, cerun itu terlampau rapat (dengan laluan). Jadi salah satu cara untuk mengelakkan risiko yang lebih besar, kita akan alihkan laluan itu ke bahagian dalam supaya tidak terlampau rapat dengan cerun yang kritikal.

“Berapa meter ke bahagian dalam bagaimanapun bergantung kepada siasatan pakar. Buat masa sekarang, pihak konsesi cerun sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jenis tanah di kawasan itu selain menghasilkan reka bentuk untuk mengukuhkan cerun berkenaan,” katanya.

Menurut Zulkipli, pembinaan jajaran baharu itu bermula selepas Surat Setuju Terima (SST) diserahkan kepada kontraktor terpilih pada pertengahan Disember ini.

Katanya, kerja-kerja pembinaan dan mengukuhkan cerun itu dijangka mengambil masa tiga tahun yang mana jangkaan awal siap pada Disember 2024. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya