SEREMBAN: Seorang guru besar sebuah sekolah di Lukut, Port Dickson direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu.
Tuntutan itu keseluruhan berjumlah RM1,568 bagi penganjuran beberapa program dua tahun lalu namun ia dipercayai tidak dilaksanakan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun adalah sehingga 3 Oktober depan dan telah dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Syed Farid Syed Ali.
Permohonan reman dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Khairi Abdul Karim manakala suspek diwakili peguam, T.Sailaja.
Menurut sumber, suspek pada November 2019 telah memperakukan pembayaran bagi program Majlis Sukan Negara, majlis perpisahan dan majlis hari jadi di prasekolah tempatnya bertugas yang dipercayai tidak dilaksanakan.
Terdahulu, guru besar itu tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pukul 10.05 pagi dengan diiringi pegawai SPRM bagi permohonan reman tersebut.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan seorang guru besar ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira pukul 1.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.- UTUSAN