Garden Shop di Wetland dibuka mulai 1 Oktober - Utusan Malaysia

Garden Shop di Wetland dibuka mulai 1 Oktober

ANTARA pokok-pokok hiasan dan landskap yang dijual di Garden Shop di Taman Wetland, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Orang ramai berpeluang memiliki pokok landskap pelbagai jenis daripada pusat jualan Garden Shop yang diwujudkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) di Taman Wetland, di sini.

Pusat jualan yang bertempat di Kompleks Nurseri Taman Wetland itu akan dibuka kepada orang awam bermula 1 Oktober ini.

Naib Presiden Jabatan Landskap dan Taman PPj, Abd. Aziz Buang berkata, lebih 150 spesis dan jenis pokok ditawarkan termasuk pokok hiasan, landskap, bunga, buah-buahan dan herba selain pokok-pokok viral yang menjadi buruan ramai.

Beliau berkata, hampir kesemua tanaman-tanaman dan pokok-pokok viral boleh diperoleh di Garden Shop ini termasuk keladi, Alocasia, bunga hiasan gantung dan lidah buaya.

“Apa yang penting, harga yang kami tawarkan lebih berpatutan dan murah berbanding harga di tempat lain iaitu antara RM3 hingga RM50 bagi setiap pokok.

“Selain jualan, kami turut menawarkan khidmat nasihat percuma kepada pengunjung mengenai cara-cara menjaga pokok dari aspek penjagaan dan baja yang sesuai,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, pihaknya berharap supaya warga Putrajaya dan sekitarnya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Garden Shop apabila ia dibuka untuk jualan nanti.

Abd. Aziz berkata, objektif penubuhan nurseri itu adalah bagi memberi peluang pemasaran kepada produk landskap dalam kalangan penduduk Putrajaya dan sekitarnya.

Katanya, pusat jualan ini pernah di buka kepada orang awam pada 10 Oktober tahun lalu, namun terpaksa ditutup bagi tempoh agak lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kali ini kami lebih bersedia untuk membuka kepada orang awam, malah lebih banyak tanaman ditawarkan berbanding sebelum ini.

“Kami juga merancang untuk membuka sebuah lagi pusat jualan di Anjung Floria di Presint 4, di sini yang dijangka dapat beroperasi Disember depan,” katanya.

Melihat ke hadapan, Abd. Aziz berkata, pihaknya merancang untuk melatih belia-belia Putrajaya bagi menceburi industri tanaman kerana ia satu peluang besar bagi menjana pendapatan.

“Kami akan melatih belia-belia ini dari segi menguruskan tamanan dan pokok dari peringkat semaian dan penjagaan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, PPj juga dalam perancangan untuk menubuhkan pusat kecemerlangan tanaman dan landskap sesuai dengan konsep Putrajaya sebagai Bandar Hijau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya