GUA MUSANG: Biarpun pernah ‘terselamat’ daripada dijatuhi hukuman berat, dua sahabat tidak serik menjadi tokan dadah apabila mereka dicekup sekali lagi di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap A di sini, Selasa lalu.
Dalam serbuan di sebuah rumah pada pukul 11.45 malam, kedua-dua suspek lelaki berumur 44 dan 33 tahun bertindak agresif apabila melawan dan cuba meloloskan diri daripada dicekup anggota polis.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek, pihaknya menemukan sejumlah 858 biji pil kuda, 3.89 gram syabu dan 88 biji pil khayal jenis epam.
Menurut beliau, kedua-dua suspek sebelum ini mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah termasuk pernah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengedar pil kuda di sekitar daerah ini.
“Tangkapan dilakukan berdasarkan hasil maklumat risikan dan maklumat awam yang mendedahkan suspek sebagai pengedar dadah.
“Siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan dadah di Kota Bharu sebelum dipasarkan di sekitar Gua Musang, selain untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini.
Kata beliau, saringan air kencing kedua-dua suspek juga didapati positif dadah.
“Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 22 September lalu bagi membantu siasatan kes yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.- UTUSAN