Datuk mohon bantuan kesan cucu, anak hilang - Utusan Malaysia

Datuk mohon bantuan kesan cucu, anak hilang

GAMBAR Mazelan Moen (tengah) bersama cucunya, Muhammad Mahdi Raimi Abdullah (kanan) yang hilang sejak 20 September lalu setelah keluar dari rumah mereka di Sungai Kelat Darat, Semerah di Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang warga emas dari Sungai Kelat Darat, Semerah, di sini buntu selepas cucu angkatnya yang berusia 10 tahun hilang dan gagal dikesan setelah dibawa keluar oleh ibunya sejak 20 September lalu.

Mazelan Moen, 75, berkata, ibu kepada kanak-kanak berkenaan iaitu Roslinna Shamsudin, 39, adalah anak angkatnya yang dijaga sejak bayi sehingga wanita itu berumah tangga.

Bagaimanapun, pada 20 September lalu, Roslinna seorang ibu tunggal dan menetap bersama warga emas itu `menghilangkan diri’ dengan anaknya, Muhammad Mahdi Raimi Abdullah menaiki motosikal jenis Honda Wave bernombor pendaftaran JSX 9852.

“Susulan kehilangan dua beranak itu, saya  membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa pada 23 September sebelum menerima maklumat bahawa Roslinna bersama anaknya ketika itu berada di Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Sebaik menerima maklumat berkenaan pada Isnin lalu (27 September), saya segera ke sana dan rupa-rupanya Roslinna telah ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dikesan mengalami kemurungan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut pesara tentera itu, bagaimanapun Muhammad Mahdi Raimi tidak ditemui bersama ibunya.

Mazelan berkata, dia telah berusaha mencari kanak-kanak itu namun belum ditemui dan menjadi semakin bimbang dengan keselamatan cucunya yang mungkin berada seorang diri di luar.

“Saya pun keliru dengan perbuatan Roslinna menghilangkan diri bersama anak sebelum itu kerana kami tidak menghadapi sebarang permasalahan atau perselisihan faham.

“Malah sehari sebelum kejadian, kami berbual seperti biasa dan anaknya juga mesra dengan saya. Sejak bayi lagi, kedua-dua beranak ini telah saya jaga terutama selepas Roslinna bercerai dengan suaminya sewaktu dia hamil.

“Roslinna sudah berhenti kerja sejak lapan tahun lalu dan kali terakhir dia bekerja di syarikat air. 

“Saya sedar Roslinna memiliki masalah kemurungan beberapa tahun sebelum ini namun keadaannya kembali normal selepas itu dan saya kurang pasti sama ada ia menjadi punca dia mengambil keputusan menghilangkan diri,” katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui lokasi Muhammad Mahdi Raimi boleh menghubungi Mazelan di talian 011-24062952 atau menyerahkan kepada pihak polis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya