PUTRAJAYA: Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan akan mempermudahkan urusan pengagihan pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) kepada masyarakat pedalaman dengan pembayaran tunai kepada mereka yang tidak memiliki akaun.
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, proses pembayaran bantuan fasa satu itu mula dilaksanakan secara berperingkat menerusi institusi kewangan terpilih melibatkan peruntukan sebanyak RM3.1 billion.
Kata beliau, bantuan tersebut diharapkan meringankan sedikit beban ‘Keluarga Malaysia’ yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, pagi ini, saya berpeluang meninjau secara maya proses pembayaran BKC fasa satu. “Saya berkesempatan bertanya khabar dengan penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) termasuk di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor secara dalam talian untuk memastikan proses pembayaran lancar,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Dalam sesi itu, beliau turut mendapatkan laporan secara langsung daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang turun padang meninjau proses pembayaran di BSN Putrajaya.
Kata beliau, begitu juga laporan tinjauan daripada Timbalannya, Mohd. Shahar Abdullah berada di BSN Triang, Pahang.
Pada 1 September lalu, Ismail Sabri memaklumkan, sejumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan bayaran BKC dengan proses pengkreditan fasa 1 bermula hari ini hingga 10 September.
Bantuan itu sekali gus memanfaatkan seramai 10 juta penerima daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.
Kelayakan penerima BKC dalam golongan miskin tegar dan B40 ialah berdasarkan kriteria kelayakan BPR 2021 dengan jumlah pendapatan isi rumah atau warga emas (RM5,000 dan ke bawah), manakala individu bujang (RM2,500 dan ke bawah).
Bagi kelayakan penerima M40 pula, golongan ini perlu melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan isi rumah (RM5,001 hingga RM9,000), manakala bujang (RM2,501 hingga RM5,000).
Bagi miskin tegar, isi rumah yang berkelayakan menerima jumlah bantuan sebanyak RM1,300, ia melibatkan tiga fasa pembayaran iaitu RM500, RM500 dan RM300; warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM500 melibatkan dua fasa pembayaran (RM200 dan RM300).
Penerima golongan B40 pula, isi rumah dengan kelayakan bantuan sebanyak RM800 adalah melibatkan dua fasa pembayaran iaitu RM500 dan RM300 manakala warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM200 akan menerima sekali pembayaran.
Seterusnya, bagi penerima M40, isi rumah dengan kelayakan bantuan RM250, warga emas sebatang kara dan individu bujang (RM100) juga menerima sekali pembayaran. – UTUSAN