CYBERJAYA: Biarpun pernah ditimpa pelbagai dugaan dan cabaran, namun berkat kesungguhan Rahashidan Harun, 50, bersama isteri, Azlin Abdullah, 50, yang tidak kenal erti mengalah membuka peluang kehidupan lebih baik untuk mereka sekeluarga.
Kisah Rahashidan sekeluarga termasuk enam anaknya yang terpaksa ‘berpindah’ ke ruang bawah sebuah pangsapuri di Cyberjaya baru-baru ini, tular dalam media sosial selepas dikatakan dihalau bekas majikan tempat dia bekerja.
Menceritakan detik itu, Rahashidan berkata, dia dan keluarganya diarahkan keluar dari rumah sewa bekas majikannya selepas berlaku salah faham apabila dituduh membuka gerai jualan nasi lemak tanpa kebenaran.
Katanya, gerai yang dibuka di bahagian hadapan restoran bekas majikannya itu sebenarnya beroperasi di luar waktu operasi bagi mendapatkan pendapatan sampingan selepas gaji dipotong ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Disebabkan salah faham dan dia (bekas majikan) menganggap seolah-olah gerai saya dapat untung banyak berbanding restorannya, dia bertindak menghalau saya dan keluarga daripada rumah sewa.
“Saya diarahkan keluar serta-merta dan akur walaupun sebahagian daripada bayaran sewa rumah itu saya bayar sendiri.
“Memang sedih sebab anak-anak terpaksa menanggung sama nasib yang menimpa saya ketika itu. Mujurlah ada pihak sudi membantu antaranya Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan komuniti Cyberjaya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Rahashidan berkata, sejak kejadian itu, dia dan isteri tidak menoleh ke belakang walaupun berat bebanan yang terpaksa ditanggung kerana hilang tempat berteduh selain tiada pekerjaan.
Berbekalkan pengalaman sebagai chef dan sedikit modal yang dikumpul, dia dan isteri memulakan perniagaan gerai nasi lemak berhampiran Shaftsbury Residences dan bangunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Jalan Impak, Cyber 6.
“Saya kini merancang membuka restoran sendiri pada masa hadapan agar anak-anaknya dapat mewarisi perniagaan itu satu hari nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE