Anwar dakwa Ismail Sabri bisik mungkin tidak perlu undi percaya - Utusan Malaysia

Anwar dakwa Ismail Sabri bisik mungkin tidak perlu undi percaya

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berbisik memberitahu mungkin tidak perlu mengemukakan usul undi percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri, dalam sidang Parlimen bulan ini.

Mendedahkan perkara tersebut menerusi webinar bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang disiarkan secara langsung di Facebook malam ini, Ismail Sabri didakwa berkata demikian selepas sesi pertemuannya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang, baru-baru ini.

Anwar bagaimanapun mengatakan beliau tidak bersetuju dengan saranan Ismail Sabri atas dasar menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan proses undi percaya terhadapnya dilakukan.

“Saya berjumpa Seri Paduka bersama parti-parti politik lain seperti DAP, UMNO, Warisan dan Bersatu dan Seri Paduka jelas sebut mesti melalui proses undi percaya.

“Malah, Sultan Nazrin menambah undi percaya harus menjadi perkara utama sebelum pembukaan perasmian diraja oleh Seri Paduka. Tetapi, tiada tanda-tanda undi percaya akan dilakukan.

“Malah, selesai pertemuan (baru-baru ini), saudara Ismail Sabri bisik mungkin tidak perlu (undi percaya). Ini bukan soal perlu atau tidak perlu, tetapi ini soal dasar tentang keabsahan kerajaan dan ini telah dipersetujui oleh Seri Paduka,” katanya malam ini.

Anwar  berkata demikian mengulas pandangan mewakili PH terhadap pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Kabinet yang didakwa sebagai ‘kitar semula’ selain keabsahan Ismail Sabri sebagai ketua kerajaan yang baharu dilantik.

Webinar itu disertai oleh parti-parti komponen PH lain iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan beberapa pemimpin UPKO serta ditonton lebih 1,000 pengguna Facebook.

Sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 6 September hingga 30 September ditangguh ke tarikh 13 September sehingga 12 Oktober selama 17 hari sekali gus menjadi perhatian apabila dijangka usul undi percaya terhadap Ismail Sabri akan diadakan.

Pakar-pakar Perlembagaan bagaimanapun berpandangan, usul undi percaya tidak perlu diadakan kerana kuasa perkenan Seri Paduka adalah amat berwibawa dan tidak perlu disahkan atau boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk Parlimen.

Bagaimanapun, 18 Ogos lalu, Seri Paduka selepas bertemu semua parti politik kerajaan dan pembangkang menitahkan bahawa perdana menteri yang baharu dilantik perlu melaksanakan undi percaya di Parlimen dengan segera bagi mengesahkan keabsahannya mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya