Ali XPDC terpaksa mohon bantuan - Utusan Malaysia

Ali XPDC terpaksa mohon bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Vokalis kumpulan rock terkenal, XPDC, Ali mengaku terpaksa menolak rasa malu ketepi dan memohon bantuan membeli barangan keperluan daripada pelbagai pihak merusi media sosial kerana terjejas akibat pandemik kini.

Menurut Ali yang berusia 53 tahun, dia bagaimanapun bersyukur kerana langkah tersebut membawa petanda positif daripada rakan-rakan yang sudi menghulurkan bantuan selepas melihat video yang dikongsikannya di media sosial.

“Terus terang saya katakan, saya terpaksa memohon bantuan sebab dalam keadaan yang sangat memerlukan. Jujurnya saya sudah lama tak ada sumber pendapatan dan sebab itu, saya ada muat naik video memohon bantuan.

“Alhamdulillah, ada yang sudi memberi sumbangan dan rakan-rakan juga ada yang membantu. Kalau ada yang faham, mereka sudi bantu.

“Kita usaha, kalau ada yang sudi beri bantuan, syukur Alhamdulillah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Ali juga mengaku sekali lagi mengalami masalah kesihatan apabila semputnya yang dialaminya mula menyerang semula sejak empat hari lalu.

Selain serangan asma atau lelah, Ali juga mengalami masalah jantung lemah dan pernah dimasukkan ke hospital pada awal tahun lalu.

Menurut Ali, dia kini sedang dirawat di unit kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan berharap keadaannya segera membaik agar tidak perlu ditahan wad.

“Sejak tiga empat hari ini saya mengalami semput dan jantung lemah. Semalam keadaan semakin teruk, jadi saya terus pergi hospital.

“Sekarang saya ditempatkan di unit kecemasan dahulu. Harap-harap saya tak perlu ditahan wad. Awal tahun ini, saya dimasukkan ke wad sebab semput.

“Selepas itu, keadaan saya dah baik tapi sejak kebelakangan ini, semput datang balik dan sekarang berdepan masalah jantung pula,” katanya.

Ali dilaporkan mengalami masalah pernafasan selepas dia terlibat dalam insiden disambar api pada 26 Mac tahun lalu.

Akibat daripada kemalangan tersebut, penyanyi lagu Aku Dan Sesuatu itu mengalami kecederaan yang sangat serius apabila muka dan tangannya melecur sehingga 30 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya