Ahmad Zahid patut diberi imuniti daripada pendakwaan - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid patut diberi imuniti daripada pendakwaan

Ahmad Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya menerima imuniti pendakwaan mahkamah kerana mendedahkan semua maklumat berkaitan transaksi melibatkan yayasannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid dalam hujahanya berkata, anak guamnya perlu diberi imuniti kerana sepanjang awal penyiasatan dijalankan tertuduh telah membuat pendedahan sepenuhnya berkaitan maklumat transaksi kepada pihak berkuasa.

Namun, menurut beliau,  pasukan pendakwaan cuba menafikan hak anak guamnya untuk mempertahankan imunitinya di bawah Seksyen 30(7) Akta SPRM.

“Ahmad Zahid telah beri maklumat dalam dua pernyataan iaitu pada 2 Julai dan 3 Julai 2018 lalu. Malah kenyataan itu disahkan oleh saksi pendakwaan ke-89 yang juga pegawai penyiasat, Fairul Rafiq Hamirudin,” katanya ketika prosiding hujahan pembelaan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau turut berhujah kes yang dipertuduhkan ke atas anak guamnya juga merupakan satu penindasan berlebihan kerana berlakunya ketidak adilan terhadap Ahmad Zahid apabila pihak pendakwaan memilih untuk mendakwa dalam jumlah yang banyak.

“Tidak ada bukti prima facie, apalagi bukti yang banyak seperti yang dihujahkan. Di atas faktor-faktor itu, pertuduhan perlu digugurkan,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN