15,754 PATI ditahan menerusi Op Benteng - Utusan Malaysia

15,754 PATI ditahan menerusi Op Benteng

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan ketika Operasi Benteng hasil kerjasama bersepadu antara 19 agensi di bawah National Task Force.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 15,754 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng di bawah National Task Force.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, seramai 2,232 PATI diusir sejak Mei 2020 hingga 7 September 2021.

Katanya, ia adalah hasil kerjasama bersepadu antara 19 agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Operasi Benteng.

“Selain PATI, seramai 1,148 orang tekong dan 781 orang penyeludup turut berjaya ditangkap dalam tempoh yang sama,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Daripada sudut rampasan pula, beliau berkata bahawa sebanyak 2,381 buah kenderaan darat dan 540 buah kapal dan bot telah berjaya dirampas.

“Selari dengan matlamat utama pelaksanaan Operasi Benteng- ATM akan terus berusaha sedaya upaya dan kekal bekerjasama rapat dengan semua 19 agensi terlibat demi mengawal ketat sempadan negara daripada kemasukan PATI di samping mengekang penularan wabak Covid-19 yang mungkin dibawa oleh PATI berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN