KEPALA BATAS: Pengalaman menyaksikan rakan sendiri menjadi mangsa peluru komunis sehingga ada yang terburai isi perut menjadi peristiwa yang sehingga kini terpahat kukuh dalam ingatan bekas polis hutan, Abdul Rahaman Bakar, 97.
Meskipun dalam usia yang menghampiri satu abad, Abdul Rahaman masih mampu mengimbau semula detik-detik pahit dan penuh mendebarkan itu yang berlaku pada 1951.
Ketika itu, katanya, pasukannya yang ditugaskan memburu saki-baki komunis di dalam hutan di Kulim, Kedah diserang hendap pasukan musuh.
“Akibat serangan hendap itu, tiga rakan saya dari satu kompeni terbunuh dan lebih menyedihkan melihat ada antara mereka yang isi perutnya hampir terburai dalam pertempuran berkenaan,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Abdul Rahaman, meskipun hanya lapan tahun berkhidmat sebagai polis hutan iaitu di usia 25 tahun pada 1949, setiap detik sepanjang tempoh itu tidak pernah terpadam dalam ingatannya kerana dia bertugas ketika negara dalam darurat dan diancam komunis.
Ketika itu juga katanya, semangat dia dan rakan-rakan dalam mempertahan keamanan negara begitu berkobar-kobar malah perasaan bangga itu masih dirasai sehingga kini.
Sementara itu, menurutnya, dia mengakhiri kerjaya sebagai anggota polis hutan setahun sebelum merdeka selepas menolak ketika diminta menjalani latihan semula biarpun telah berjawatan koperal di dalam pasukan itu.
Dia memilih bekerja di Singapura sebelum pulang dan menjadi pengawal keselamatan di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata tersebut turut mengingatkan generasi muda supaya sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan negara hari ini yang dicapai daripada pengorbanan dan titisan darah generasi terdahulu.
Katanya, generasi hari ini bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan keamanan negara tanpa perlu berkorban seperti generasi terdahulu sekali gus wajar mempertahankannya dengan apa jua cara sekali pun. – UTUSAN ONLINE