UMNO, BN sudah berpecah tiga - Shahrir - Utusan Malaysia

UMNO, BN sudah berpecah tiga – Shahrir

SHAHRIL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO kini berpecah kepada sekurang-kurangnya  tiga kumpulan meskipun masih memiliki 39 ahli parlimen yang berstatus wakil rakyat Barisan Nasional (BN), kata veteran parti itu, Tan Sri Shahrir Samad.

Menurut bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, episod perpecahan BN sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak  lagi boleh diselindungkan walaupun selepas 38 bulan berlalunya PRU-14.

Menurut beliau, semua itu bermula di Sabah apabila majoriti ketua-ketua bahagian UMNO negeri itu mengikut nasihat seorang pemimpin yang pernah berkedudukan tinggi dalam parti untuk berbuat demikian.

“Mereka bersama ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) UMNO-BN melompat ke PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Kemudian 16 lagi Ahli Parlimen UMNO-BN melompat keluar (dengan) 15 ke PPBM dan seorang ke Warisan.

“Menjelang Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang ditandingi oleh PPBM-PH dan MCA-BN, enam Ahli Parlimen UMNO-BN secara terbuka menyokong Tun Dr. Mahathir (Mohamad) sebagai Perdana Menteri sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.

“Namun yang lima ini masih kekal bersama ketua mereka (seorang yang lebih suka bertindak sebagai tangan ghaib) masih lagi berada dalam UMNO. Seorang sudah pun meninggalkan kumpulan ‘6 Jahanam’ ini,” katanya dalam entri di Facebooknya hari ini.

Shahrir berkata, perpecahan di peringkat elit itu bagaimanapun tidak pula dicerminkan di peringkat akar umbi parti, malah kerjasama dengan Bersatu di peringkat tertinggi pun tidak juga diterjemahkan UMNO dengan parti itu di peringkat akar umbi.

“MCA dan MIC sudahpun menyokong kuat kedudukan TS Mahiadin Yassin sebagai Perdana Menteri. Itu tanda keselesaan kepimpinan kedua-dua parti pengasas BN dengan kerajaan Perikatan Nasional. Bagaimana pula kebersamaan ini dicerminkan di peringkat akar umbi (yang) mereka masih belum jelas,” soalnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, perpecahan dalam UMNO dan BN diyakini hanya dapat diperbaiki pada PRU-15 kelak dengan membariskan calon-calon baharu mewakili parti.

“UMNO dan BN di peringkat atas sememangnya sudah berpecah dengan masing-masing mempunyai hala tuju sendiri, tidak boleh diperbetulkan masa ini (tetapi) akar umbi UMNO khususnya masih kekal, ia (boleh) diperbetulkan pada PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, dalam catatan sama, Shahrir berkata, melalui analisis paling mudah yang dibuat hanya satu fakta sahaja mahu melihat kepatuhan seseorang Ahli Parlimen BN kepada parti yang mereka bertanding sebagai calonnya pada PRU lalu.

“Setiap Ahli Parlimen BN dikehendaki menyumbang lima peratus elaun kepada BN. Elaun mereka yang dikecualikan daripada cukai pendapatan ialah RM16,000 sebulan. Maknanya, sumbangan RM800 sebulan.

“Fahaman saya, hanya berbelas sahaja mereka yang membuat potongan bulanan kepada BN. Sambil elit parti membuat penilaian dan keputusan sendiri melompat keluar atau menyokong secara terbuka PPBM dari masa Tun Mahathir hingga ke Mahiadin dan akhirnya tidak sanggup membuat potongan bulanan elaun mereka,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya