Tutup syarikat keselamatan, jual rempah kari - Utusan Malaysia

Tutup syarikat keselamatan, jual rempah kari

R. GOPAL (kanan) dan K. Abby menunjukkan serbuk kari jenama keluaran mereka di Taman Paya Emas, Paya Rumput, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Akibat terkesan pandemik Covid-19, pemilik sebuah syarikat kawalan keselamatan di Taman Paya Emas, Paya Rumput, dekat sini, mengambil keputusan menutup operasi dan bertekad beralih bidang lain untuk meneruskan kehidupan.

Menanggung kerugian besar selain tiada sebarang kontrak mendorong R. Gopal mengambil keputusan menerokai bidang perniagaan produk serbuk kari hasil resepi isterinya, K. Abby.

Katanya, dia tidak mempunyai banyak pilihan dan bidang berkaitan makanan pula dianggap lebih selamat berbanding sektor lain.

“Aset-aset seperti van, lori dan pelbagai barang pejabat terpaksa saya jual kerana hendak membayar hutang. Setahun lebih saya tidak mempunyai pekerjaan.

“Mujurlah isteri saya memberi idea untuk membuat serbuk kari ayam, daging dan ikan. Idea ini datang sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu dan kebetulan dia mewarisi kemahiran memasak kari daripada keluarganya.

“Lebih empat bulan kami bertungkus-lumus menghasilkan serbuk kari bagi pasaran di negeri ini. Akhirnya, kami dapat menghasilkan serbuk kari jenama Abby Healty,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Gopal menambah, rempah kari yang dihasilkannya berkualiti tinggi kerana tidak menggunakan pewarna dan perasa sintetik.

Jelasnya, setiap ramuan rempah-ratus campuran yang dihasilkan dijamin selamat untuk dimakan dan setanding dengan serbuk kari dikeluarkan beberapa syarikat terkemuka di negara ini.

“Walaupun masih baharu di pasaran tetapi maklum balas yang saya terima daripada pelanggan sangat menggalakkan.

“Cuma sewaktu PKP dan sekatan pergerakan penuh, jualan agak perlahan dan usaha untuk memasarkan ke beberapa negeri juga terbantut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya