Tidak sempat tatap wajah suami - Utusan Malaysia

Tidak sempat tatap wajah suami

GAMBAR kenangan Azliza Mohd. Rosli bersama Hamzah Md. Yusuf yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang wanita tidak sempat menatap wajah suaminya buat kali terakhir sebelum insan disayanginya itu meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini akibat Covid-19, Jumaat lalu.

Azliza Mohd. Rosli, 37, berkata, dia dan Hamzah Md. Yusuf, 44, hanya sempat berbalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mana suaminya memaklumkan akan ‘ditidurkan’ pada malam Khamis lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat menatap wajah arwah suaminya buat kali terakhir walaupun melalui panggilan video memandangkan arwah ketika itu sukar menjawab panggilan kerana sering mengalami sesak nafas.

“Selepas arwah beritahu dia akan ditidurkan, saya minta dia tunggu sekejap untuk buat panggilan video kerana selalunya dia sukar menjawab panggilan akibat sesak nafas.

“Saya merayu supaya dia terus pegang telefon bimbit dan tunggu panggilan video daripada saya, namun hasrat saya itu tidak kesampaian apabila tidak berjawab.

“Penantian saya berakhir apabila saya menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan suami meninggal dunia pada pukul 8.30 malam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azliza memberitu, arwah suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Kuala Ketil dekat sini yang positif Covid-19 menerima rawatan di HSA selama sembilan hari sebelum meninggal dunia.

“Saya juga tidak berpeluang berhubung kerap dengan arwah sepanjang tempoh sembilan hari arwah dirawat di HSAH kerana keadaan kesihatannya yang tidak stabil,” ujarnya.

Katanya, arwah sebelum ini ada menghantar mesej dan berpesan kepadanya supaya menjaga anak-anak sebaik mungkin.

Azliza berkata, dia berkahwin dengan Allahyarham Hamzah kira-kira tujuh tahun lalu selepas kedua-dua mereka berstatus ibu dan bapa tunggal disebabkan kematian pasangan masing-masing.

Tambahnya, dia bersama lima anak sedang menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19 kira-kira seminggu lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya