KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan negeri membenarkan individu yang lengkap dua dos vaksin sahaja masuk ke pasar raya dan dine-in di restoran menerima reaksi berbeza daripada orang ramai di negeri ini.
Noranila Adnin, 32, berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu itu mempunyai kebaikan dan keburukan kerana masih ramai orang muda yang belum menerima vaksin lengkap.
“Tidak adil untuk membenarkan individu sudah lengkap divaksin sahaja masuk ke pasar raya kerana masih ramai yang belum menerima janji temu vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Malah, saya sendiri baharu menerima vaksin dos pertama beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui.
Kakitangan bank itu berkata, kebaikan pendekatan itu adalah dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan dan kematian akibat Covid-19 terutama dengan adanya varian baharu yang cepat merebak pada masa ini.
Namun, katanya, lebih baik kerajaan negeri memberi sedikit masa kepada pelanggan dan pengusaha premis untuk membuat persediaan bagi mendapatkan vaksin lengkap sebelum dapat mematuhi SOP baharu ini.
“Jika dilihat Kementerian Kesihatan juga menyatakan bekalan vaksin tidak mencukupi maka, tidak adil untuk terus melaksanakan syarat lengkap dua dos vaksin ini secara serta-merta.
“Kalau individu belum lengkap divaksin tidak dibenarkan untuk masuk ke pasar raya, itu akan mendatangkan kesukaran kepada mereka membeli barang keperluan,” katanya.
Sementara itu, Christinus Jesie, 38, berkata, pelaksanaan SOP yang ketat sangat baik kerana ia boleh memberi keyakinan kepada pelanggan untuk memasuki pasar raya tanpa perlu berasa bimbang tentang jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, SOP sedia ada masih perlu dipatuhi bagi memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan.
“Ketika ini, kes jangkitan Covid-19 di Sabah juga semakin meningkat, jadi ketetapan SOP yang ketat sebegini dapat meningkatkan keyakinan orang ramai untuk keluar membeli barang keperluan harian,” ujarnya.
Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan, berdasarkan SOP baharu di Sabah, pelanggan dan pekerja yang lengkap divaksin sahaja boleh masuk ke pasar raya dan restoran. – UTUSAN ONLINE