SHAH ALAM: Bencana yang pertama kali menimpa penduduk di Yan, Kedah apabila ‘kepala air’ membadai rumah, jalan raya dan infrastruktur lain menarik perhatian pertubuhan Sukarelawan Selangor (Serve) yang berhasrat mahu membantu masyarakat di situ.
Justeru, seramai 30 hingga 50 pasukan Serve dijadualkan bertolak ke Yan pada hari ini dan esok bagi menjalankan misi kemanusiaan membantu masyarakat yang menghadapi bencana di samping menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk makanan dan keperluan lain.
Misi bantuan itu dimaklumkan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman yang memberitahu, rombongan misi kemanusiaan tersebut turut disertai Penggerak Belia Selangor (PeBS).
“Rombongan ini turut membawa bantuan 1,000 bakul makanan serta air mineral lima liter untuk diagihkan kepada penduduk di sana sumbangan Pejabat Menteri Besar Selangor. Malah Datuk Seri Amirudin Shari juga hadir pada 31 Ogos bagi menyerahkan cek sumbangan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
“Kerajaan negeri mengikuti perkembangan bencana banjir dari fenomena kepala air yang berlaku di Yan. Justeru Serve akan menghantar barang keperluan asas berupa sejadah, kain pelikat, barangan dapur dan sebagainya yang akan diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan rombongan pasukan Serve ke Kedah yang turut disertai kakitangan pejabat exco, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik serta Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.
Sementara itu, Ketua Misi, Ahmad Danish Hairuddin memberitahu, ini adalah misi pertama pasukan Serve membawa sekumpulan generasi belia dari Selangor untuk membantu masyarakat di Kedah.
“Bencana ‘kepala air’ Gunung Jerai di Yan adalah pertama kali berlaku dan kesannya menarik perhatian kami untuk turun membantu mereka yang dalam masa sama termasuk kita semua sedang bergelut dengan wabak pandemik Covid-19.
“Justeru, sebanyak lapan buah kenderaan serta sebuah lori tiga tan akan bertolak ke sana dan jumlah bantuan disediakan adalah bernilai RM40,000 hingga RM50,000 tidak termasuk sumbangan yang disediakan oleh Menteri Besar,” ujarnya.
Pada 21 Ogos lalu, bah secara mengejut menyebabkan beberapa petempatan di sekitar Gunung Jerai, Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat kejadian kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu. – UTUSAN ONLINE