PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Mawar Rashid berjaya mengumpul dana berjumlah RM 114,400 hasil sumbangan bersama-sama rakyat Malaysia.
Menurut Mawar, kutipan tersebut bertujuan bagi menyumbang barang kelengkapan penting di Hospital Selayang.
Menerusi entri Instagram, dia memuat naik beberapa gambar bersama suaminya, Raff Yaakob serta kakitangan hospital semasa memberi sumbangan barangan keperluan tersebut.
“Saya amat berbangga dengan anda, rakyat Malaysia. Syukur Alhamdulillah, jumlah pengumpulan dari sumbangan rakyat Malaysia, kami berjaya kumpul sebanyak RM 91,400.
“Ia menjadikan jumlah sumbangan sebanyak RM 114,400, syukur Alhamdulillah. Dengan wang ini kita dapat membantu hospital dengan sumbangan berupa satu unit baby warmer.
“Selain itu, satu unit lifting trolley, tiga unit oxigen concentrator, lima unit pulse oximeter, empat unit portable screen, 20 unit double sided magnetic standing whiteboard, 10 unit portable table serta 15 unit tong oksigen,” kongsinya.
Dalam pada itu, dia sempat mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan selebriti yang turut sama membantu mengumpul dana tersebut.
“Mawar, suami serta team ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang turut membantu kumpul dana ini.
“Jutaan terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sumbangan untuk kita sokong barang-barang keperluan hospital,” katanya.