Rosli: Siti Sarah insan mulia yang sentiasa ceria - Utusan Malaysia

Rosli: Siti Sarah insan mulia yang sentiasa ceria

ROSLI MANAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemergian permata seni, Siti Sarah Raissuddin meninggalkan kesan cukup mendalam buat semua yang mengenali penyanyi itu.

Bekas Pengarang Majalah URTV, Rosli Manah, 53, menyifatkan Allahyarham Siti Sarah sebagai seorang insan berhati mulia yang sentiasa menceriakan sesiapa sahaja yang mengenalinya.

“Saya mengenali arwah sebelum dia bergelar penyanyi. Kebetulan kami tinggal berdekatan di Keramat dan saya serta beberapa wartawan lain sering menerima jemputan ibunya ke rumah mereka.

“Mengenali arwah, dia seorang yang manja, menceriakan dan sentiasa gembira seperti tiada masalah. Kami rapat bagaikan keluarga, saling mengenali hati budi masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bercerita lanjut, Rosli juga menyifatkan Siti Sarah sebagai seorang yang berdisiplin dan sentiasa patuh kepada kedua ibu bapanya.

“Dia pernah menceritakan pengalamannya yang terpaksa berlatih vokal pada awal pagi semata-mata untuk menjadi seorang penyanyi yang baik. Ayahnya seorang yang tegas dan arwah tidak pernah sekalipun membantah dan sentiasa patuh kepada orang tuanya.

Dalam pada itu, Rosli turut mendedahkan sifat terpuji arwah yang dalam diam, rajin bersedekah dan membantu orang dalam kesusahan.

“Dia insan yang tampil membantu ketika saya kehilangan kerja tidak lama dahulu.

“Dia berbuat kebaikan dalam diam, tidak mahu orang tahu tentang bantuan atau pertolongan yang dia hulurkan. Begitu ikhlasnya dia dalam membantu orang yang dalam kesusahan.

“Jika ada satu peluang, saya ingin ucapkan terima kasih kepadanya kerana menjadi insan yang baik dan hadir menceriakan semua termasuk saya,” katanya sebak.

Selain Rosli, bekas Pengarang Kanan Utusan Karya Sdn. Bhd., Joha Ahmad, 55, memberitahu turut terkesan dengan pemergian penyanyi lagu Kesetiaan itu.

Katanya, arwah seorang yang cukup disenangi bukan sahaja dalam kalangan rakan-rakan wartawan yang mengenalinya, malah peminat yang sentiasa bersamanya sejak awal pembabitan dalam dunia seni suara.

“Arwah tidak pernah sombong dengan peminat. Dalam apa keadaan sekalipun, penat atau tidak, dia akan melayan peminat dengan cukup baik dan tidak pernah membelakangkan mereka.

“Saya anggapnya sebagai seorang adik. Kalau dia buat salah, saya akan tegur dia.

“Jiwanya terbuka. Dia juga seorang periang, disenangi rakan-rakan wartawan kerana sifatnya yang tidak berpura-pura. Saya cukup merasai kehilangannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya