TAIPING: Aktiviti menangkap dan pendaratan ikan di empat jeti nelayan di Kampung Menteri Kuala Sepetang di sini terhenti apabila kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai 6 hingga 19 Ogos ini.
Jeti tersebut ialah jeti nelayan Kampung Menteri A, B, C dan Jeti Kampung Menteri Baharu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, 70 peratus daripada 300 buah rumah di Kampung Menteri yang dikenakan PKPD terdiri daripada nelayan.
“Kebanyakan penduduk di kampung ini bekerja sebagai nelayan dan apabila tempat ini dikenakan PKPD, maka segala aktiviti penangkapan ikan dan juga pendaratan ikan terhenti 14 hari di sepanjang tempoh PKPD.
“Apabila aktiviti menangkap ikan terhenti maka punca pendapatan nelayan di kawasan ini terjejas dan ia turut menjejaskan pendaratan ikan antara 30 hingga 40 peratus secara keseluruhan di Kuala Sepetang,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan 300 bantuan kotak makanan kepada Kampung Menteri di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun pelaksanaan PKPD di Kampung Menteri menjejaskan jumlah pendaratan ikan namun ia dapat ditampung dengan hasil pendaratan ikan di tempat lain di negeri ini.
“Tidak perlu khuatir tentang bekalan ikan walaupun kawasan ini tiada aktiviti pendaratan hasil tangkapan laut untuk tempoh 14 hari kerana ia dapat ditampung oleh bekalan dari tempat lain, bekalan ikan masih mencukupi untuk negeri ini.
“Bagi nelayan yang terjejas pendapatan akibat pelaksanaan PKPD di kawasan ini, saya sedang berbincang untuk memberi bantuan secara one off atau sekali bayar,” katanya.
Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pihaknya akan memberi bantuan sewajarnya kepada 300 buah rumah yang terlibat PKPD di Kampung Menteri.
“Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang berhasrat untuk menyumbangkan makanan siap masak sebanyak dua kali sehari sepanjang PKPD kepada semua rumah di Kampung Menteri bagi meringankan beban mereka jika mendapat kebenaran Pegawai Daerah Larut Matang Selama,” katanya.
Mengenai pemberian vaksin, beliau berkata, lebih 100,000 nelayan yang berdaftar di seluruh negara akan menerima vaksin secara keseluruhannya pada bulan November ini. – UTUSAN