Perak sumbang RM1.8 juta kepada 9 sekolah swasta Cina  - Utusan Malaysia

Perak sumbang RM1.8 juta kepada 9 sekolah swasta Cina 

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sembilan buah sekolah persendirian Cina (SUWA) di negeri ini menerima bantuan pendidikan berjumlah RM1.8 juta daripada kerajaan negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bantuan tersebut sebahagian daripada peruntukan RM8.1 juta kepada pelajar sekolah kebangsaan, sekolah Mubaligh, sekolah vernakular dan SUWA yang diumumkan dalam Bajet Perak 2021.

Menurut beliau, setiap SUWA akan menerima peruntukan sebanyak RM200,000 dan akan memberi manfaat kepada hampir 10,000 guru dan pelajar.

“Bantuan pendidikan diberikan bagi membantu dan mengurangkan kekangan kewangan pengurusan yang dihadapi oleh sekolah-sekolah tersebut,” kata beliau selepas majlis penyampaian bantuan SUWA negeri Perak secara maya hari ini.

Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa memahami cabaran dan kesusahan dihadapi SUWA terutamanya  dalam suasana pandemik Covid-19 yang menjejaskan sistem persekolahan sejak hampir dua tahun.

Menurutnya, sumbangan itu adalah komitmen berterusan kerajaan negeri sejak bertahun-tahun untuk membantu sekolah-sekolah persendirian selain meluluskan remitan cukai tanah dan tunggakan cukai tanah pada kadar norminal RM10 per lot setahun.

Tiga buah SUWA di Ipoh iaitu Sekolah Menengah (SM) Shen Jai, SM Yuk Choy dan SM Poi Lam serta dua buah SUWA di Daerah Manjung iaitu SM Nan Hwa dan SM Yik Ching antara penerima bantuan ini.

Empat buah lagi adalah SM Pei Yuan, Kampar, SM Tsung Wah, Kuala Kangsar, dan SM San Min, Teluk Intan, dan Sekolah Tinggi Hua Lian, Taiping. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya