Pendekatan THR terbukti berjaya kurangkan kadar merokok - Utusan Malaysia

Pendekatan THR terbukti berjaya kurangkan kadar merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendekatan mengurangkan mudarat tembakau (THR) memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti kesihatan awam, menurut pakar terkemuka dalam bidang sains, teknologi, dasar dan kepenggunaan dari Asia Pasifik.

Konsep THR merupakan pendekatan yang menyasarkan pengurangan kemudaratan pada kelakuan yang boleh menyebabkan risiko kepada kesihatan.

Strategi yang telah diguna pakai di pelbagai negara di seluruh dunia itu terbukti berkesan bagi mengatasi masalah ketagihan dadah dan juga pengunaan produk tembakau.

Ketua Pusat Undang-Undang, Dasar dan Etika Kesihatan yang juga Profesor Adjung undang-undang di University of Ottawa, Kanada, Profesor David Sweanor berkata, hampir lapan juta daripada satu bilion perokok seluruh dunia maut setiap tahun ekoran penyakit berkaitan tabiat tersebut.

“Sejak sekian lama kita sudah tahu mengenai risiko daripada tabiat merokok datang daripada asap rokok dan bukannya nikotin. Kita juga tahu yang nikotin boleh ditawarkan kepada pengguna dengan risiko yang minimum.

“Namun, perokok akan memilih produk-produk seperti ini dan akan beralih kepadanya pada jumlah yang signifikan seperti e-rokok atau vape, snus dan produk rokok yang dipanaskan,” katanya dalam pembentangan Asia Harm Reduction Forum 2021 yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Menurut Sweanor, terdapat negara yang telah berjaya menurunkan statistik perokok dengan menggalakkan pengguna bertukar kepada produk bebas asap dan kurang mudarat antaranya Sweden, Norway, Iceland, Jepun dan Korea.

Ujarnya, di Eropah, negara yang berjaya mencatatkan penurunan paling ketara adalah negara yang menerima produk nikotin bebas asap seperti Sweden.

“Hasilnya, kadar penyakit dan kematian berkaitan tembakau di Sweden adalah paling rendah dalam Kesatuan Eropah. Kadar perokok mereka sekarang sangat rendah sehingga mereka dikategorikan sebagai masyarakat bebas rokok.

“Apabila Norway membenarkan produk snus berada di pasaran, kadar perokok juga menurun hampir 50 peratus dalam tempoh 10 tahun. Begitu juga dengan Iceland yang berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 40 peratus dalam masa tiga tahun selepas membenarkan snus dan produk vape dalam pasaran negara mereka,” jelasnya.

Beliau menambah, Jepun juga menyaksikan penurunan ketara pada kadar 42 peratus dalam tempoh lima tahun selepas produk kurang mudarat memasuki pasaran.

Beliau juga menjangkakan Korea akan memperoleh kejayaan sama dan bakal mencatat penurunan statistik merokok sebanyak 40 peratus selepas tiga tahun memperkenalkan produk yang kurang berisiko.

“Penurunan dramatik ini bukan satu kebetulan. Kita telah melihat banyak negara yang membenarkan produk vape dan negara-negara ini telah berjaya ‘menjauhi’ rokok dalam tempoh yang singkat.

“Terdapat pelbagai produk di pasaran hari ini yang dapat menggantikan rokok dan produk yang kurang mudarat ini dapat diperluaskan jika pihak berwajib merealisasikannya melalui regulasi,” tambahnya.

Malaysia yang menyaksikan jumlah perokok yang tinggi sejak berdekad lalu boleh memanfaatkan konsep strategi THR kerana mengurangkan kadar merokok adalah penting kepada isu kesihatan awam dan kerajaan perlu mempertimbangkan peranan stretegi yang mampu membantu mencapai sasaran menurunkan kadar perokok negara kepada 15 peratus menjelang 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya