TUMPAT: Seorang lelaki memakai gelang merah jambu dari Kampung Berlian di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikesan singgah membeli sayur di Pasar Besar Wakaf Bharu semalam.
Gara-gara perbuatannya itu, seluruh pasar tersebut ditutup hari ini untuk proses sanitasi bagi mengelak risiko penularan Covid-19.
Dalam kejadian pukul 10.20 pagi, lelaki ‘gelang pink’ terbabit dipercayai keluar dari rumahnya dengan menunggang motosikal sebelum singgah di Pasar Besar Wakaf Bharu untuk membeli sayur.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan, Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki itu cuba menyorok gelang dipakainya dengan memakai baju lengan panjang namun disedari pengurusan pasar berkenaan.
“Bertindak hasil maklumat kita mengesan lelaki tersebut dan mengenakan kompaun RM5,000 terhadapnya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta melarikan diri dari kawasan PKPD,” kata beliau selepas melawat Pasar Besar Wakaf Bharu yang disanitasi..
Proses sanitasi dilakukan pengurusan Pasar Besar Wakaf Bharu dan turut dipantau Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai bermula pukul 9 pagi ini merangkumi semua seksyen kawasan itu.
Mohd. Razi berkata, keputusan diterima lelaki itu untuk ujian calitan kali pertama adalah negatif namun untuk ujian kedua yang dijalankan semalam belum diketahui.
“Kita nasihatkan mereka yang berada dalam mana-mana kawasan dikenakan PKPD agar kekal berada dalam lokaliti itu dan jangan cuba keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Berhubung dakwaan kira-kira 50 keluarga hilang dari PKPD Taman Sri Bayu di sini semasa pelaksanaannya yang bermula Rabu lalu, beliau berkata, pihaknya sedang menyemak semula bilangan penduduk di situ.
“Sebahagian besar penghuni di kawasan PKPD itu membabitkan penjawat awam sama ada dalam atau luar Tumpat dan kebanyakannya adalah penyewa, menyebabkan jumlah sebenar sentiasa berubah-ubah,” katanya.- UTUSAN