SHAH ALAM: Kembalinya Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi diibaratkan sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ dalam barisan Kabinet baharu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.
Hal itu dinyatakan Presiden, Gabungan Kesatuan-Kesatuan Universiti Awam Malaysia (Gakum), Zulkifli Mohammad yang berharap kembalinya Noraini dapat melaksanakan dasar-dasar pengajian tinggi yang tertangguh sebelum ini.
”GAKUM ingin mengucapkan tahniah dan selamat kembali kepada Noraini atas pelantikan baharu yang diumumkan Perdana Menteri.
“Seperti diketahui umum, Noraini mempunyai hubungan yang sangat baik dengan semua Kesatuan-Kesatuan yang terdapat di universiti awam Malaysia. Kami amat berharap hubungan baik ini dapat diteruskan dalam kebersamaan meninggikan martabat pengajian tinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE