YAN: Mayat lelaki warga emas yang hilang dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu ditemukan di kawasan chalet di Batu Hampar, di sini petang ini.
Mayat bekas imam Masjid Yan, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang merupakan mangsa kelima maut dalam tragedi itu ditemukan di bawah timbunan kayu hanyut pada pukul 3.23 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ditemukan sekumpulan anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sungai yang baru terbentuk berikutan kejadian kepala air tersebut.
Menurutnya, anggota bomba yang berada di kawasan itu kemudian terhidu bau dipercayai mayat.
“Sebuah jengkaut kemudian digunakan mengalihkan kayu-kayu yang menutup mayat.
“Mayat tersebut dapat dikeluarkan kira-kira lima minit kemudian. Keadaan mayat ditemukan dalam keadaan mengiring,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat petang ini.
Sayani memberitahu, mayat tersebut ditemukan lebih satu kilometer dari rumah yang diduduki mangsa di Salak Denai, Jalan Batu Hampar di sini.
Tambahnya, pasukan bomba menyerahkan mayat tersebut kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat.
Setakat ini, tinggal seorang lagi mangsa, Ridwan Poniman, 61, yang hilang dalam tragedi itu. – UTUSAN ONLINE