Masih ‘takut’ untuk benarkan makan di kedai - Utusan Malaysia

Masih ‘takut’ untuk benarkan makan di kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bermula Sabtu lalu, rakyat Melaka yang telah lengkap mengambil dua dos suntikan vaksin Covid-19 boleh memanfaatkan kemudahan makan di kedai.

Kemudahan itu bagaimanapun hanya dibenarkan kepada mereka yang telah melepasi tempoh 14 hari selepas vaksinasi dos kedua.

Namun, rata-rata peniaga kedai makan di negeri ini belum bersedia untuk membenarkan pelanggan makan di premis berikutan bimbang dengan penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi sekitar Lorong Pandan, Klebang dan Kota Laksamana di sini mendapati, kebanyakan kedai makan hanya membuka kaunter untuk bungkus sahaja.

Pemilik kedai roti canai Warung Si Penarik Beca, Nor Rezuan Hamzah, 40, ketika ditemui berkata, walaupun sedia maklum dengan kemudahan diberikan oleh kerajaan, namun dia memilih mengambil langkah berjaga-jaga.

NOR REZUAN HAMZAH

“Dalam tempoh seminggu dua ini kedai kami hanya akan menyediakan makanan untuk dibungkus sahaja.

“Kita bimbang dengan penularan Covid-19, apatah lagi kes semakin tinggi di negeri ini, malah kami juga tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk memeriksa Sijil Digital Vaksinasi setiap pelanggan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan (SOP),” katanya.

Perkara sama turut diluahkan peniaga warung di Lorong Pokok Mangga, Rosman Malik, 51, malah menurutnya kawasan tersebut kini masih ‘panas’ dengan kluster Covid-19.

ROSMAN MALIK

“Saya takut kes semakin meningkat, ada kluster di kawasan ini dan mungkin masih aktif. Jadi, saya tidak berani ambil risiko benarkan pelanggan makan di kedai takut kawasan ini menjadi semakin ‘panas’,” katanya.

Sementara itu, Faizal Mohd. Yusof, 51, pula berkata, kemudahan yang diberikan tersebut adalah peluang baik untuk para peniaga bangkit semula selepas mengalami kerugian teruk sepanjang pandemik.

FAIZAL MOHD. YUSOF

Ujarnya, bagaimanapun, perubahan SOP yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa menimbulkan kekeliruan kepada peniaga.

“Berita ini memang ditunggu-tunggu oleh para peniaga, namun ramai yang masih keliru dengan berita ini, tentang SOP dan sebagainya.

“Saya harap sebarang perubahan SOP atau kemudahan perlu dimaklumkan secara terperinci kepada peniaga sama ada melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak bertanggungjawab yang lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN