Maqis rampas keladi hiasan import  - Utusan Malaysia

Maqis rampas keladi hiasan import 

PEGAWAI Maqis menunjukkan salah satu tanaman pokok keladi yang cuba diseludup masuk dari Singapura kerana mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan di KSAB, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Permintaan tinggi dalam kalangan penggemar tanaman pokok keladi hiasan menjadikan pengimport mengambil tindakan berani  menyeludup masuk spesies yang jarang ditemukan di pasaran tempatan.

Bagaimanapun, taktik pihak tidak bertanggungjawab menyembunyikan 23 pokok tersebut ke dalam tong ikan  kosong dari Singapura berjaya dipatahkan pihak berkuasa di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB),  pukul 4.30 pagi semalam.

Antara keladi hiasan yang dirampas adalah jenis anthurium luxurians, anthurium magnificum dan beberapa spesies lain yang dianggarkan bernilai RM3,200 hingga RM3,800 seunit di pasaran tempatan.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam kenyataan memberitahu, cubaan tersebut digagalkan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Pemeriksaan menemukan tanaman keladi hiasan bernilai RM7,230 dan cuba dibawa masuk tanpa dokumen sah seperti Permit Import Maqis dan sijil rawatan dari negara asal.

“Cubaan seludup masuk pokok berkenaan dibuat kerana terdapat permintaan tinggi terhadap tanaman itu di negara ini,” katanya di sini, hari ini.

Seorang individu berusia 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan setelah keterangannya diambil. 

Menurut Maqis, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama. 

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya