GERIK: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak merampas lebih dua tan metrik buah durian kampung dianggarkan bernilai RM7,000 yang dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand ke negara ini, petang kelmarin.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MAQIS menjelaskan rampasan itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan rutin terhadap sebuah lori di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu, kira-kira pukul 3 petang.
“Hasil daripada pemeriksaan rutin ke atas sebuah lori yang membawa masuk buah durian mendapati barang dagangan tersebut tidak mematuhi syarat import,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut mendapati buah durian yang dibawa masuk tersebut tidak mematuhi syarat import 3P iaitu pelabelan, pengredan, dan pembungkusan seperti yang ditetapkan dalam syarat import MAQIS.
Sehubungan itu, kata kenyataan itu, kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.
MAQIS mengingatkan bahawa perbuatan pengimportan yang tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit adalah merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Menerusi akta itu, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama. – UTUSAN ONLINE