Madrasah dan pusat tahfiz Pahang 'nazak'  - Utusan Malaysia

Madrasah dan pusat tahfiz Pahang ‘nazak’ 

MAAHAD Tahfiz Darul Ulum Al-Islami ditutup ekoran penularan wabak Covid-19 di Felda Jengka 11 di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu melumpuhkan operasi institusi pendidikan agama swasta dan pusat tahfiz di negeri ini yang disifatkan sebagai sedang ‘nazak’.

Ia diakui Mudir Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Islami di sini, Mohd. Khairul Poniran, 50, yang terpaksa bertahan untuk beroperasi walaupun menghadapi masalah kewangan yang teruk pada ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, maahad yang diasaskan 20 tahun lalu di Felda Jengka 11 itu ‘jantung hatinya’ dan mempunyai 250 pelajar dan 24 guru yang mengajar pelbagai subjek.

“Bagaimanapun, sejak bulan Mei tahun ini, seluruh pusat tahfiz di negeri ini diarah tutup atas faktor keselamatan kesihatan akibat pandemik Covid-19.

“Semua pihak sedia maklum pusat tahfiz dan institusi pendidikan agama swasta bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan ibu bapa dan dermawan,” katanya di sini semalam.

MOHD. KHAIRUL PONIRAN

Mohd. Khairul berkata, dia dan beberapa guru masih menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) supaya pelajar tidak leka dan dapat menjalankan proses pendidikan di rumah.

Tambahnya, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, pusat tahfiz tiada masalah daripada segi kewangan kerana ramai menginfaq tetapi kini tiada lagi kerana masalah ekonomi yang berlaku.

“Kini, terdapat ibu bapa yang tidak mampu membayar yuran RM200 kerana pelbagai masalah seperti kehilangan pekerjaan dan lain-lain.

“Saya dimaklumkan, terdapat rakan-rakan yang membuka pusat tahfiz di negeri ini terpaksa tutup operasi kerana tiada sumber kewangan,” katanya.

Sementara itu, Mudir Madrasah Raudhah Al Muhibbin (Pondok Pak Kob), Chenor, Barakahtullah Mohd. Bahari, 39, mencadangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyediakan dana khas tahunan membantu institusi pendidikan agama swasta seperti pusat tahfiz.

Ini kerana ujarnya, pandemik Covid-19 dijangka memakan masa yang lebih lama boleh menjejaskan usaha melahirkan generasi muda tahfiz al-Quran.

Beliau berkata, dana khas kerajaan Pusat dan negeri kepada pusat tahfiz secara langsung menyuburkan usaha mendidik generasi al-Quran menerajui negara pada masa depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN