KPT lancar Kempen Mesti Menang bantu pelaksanaan PPN - Utusan Malaysia

KPT lancar Kempen Mesti Menang bantu pelaksanaan PPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melancarkan Kempen Mesti Menang dalam usaha membantu kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Majlis pelancaran kempen itu akan disiarkan dalam Fecebook rasmi kementerian pada 3 Ogos ini. Kempen itu dibuat melalyi kerjasama antara KPT dan KRU Studios.

Kempen ini akan memberi tumpuan kepada empat fokus utama iaitu Peranan Hospital Pengajar Universiti, Penyediaan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT), kesukarelawan dan inisiatif Food Bank.

Kandungan kempen ini akan dipersembahkan melalui penerbitan video-video pendek yang akan memperlihatkan usaha-usaha KPT dalam menyokong strategi kerajaan terutama melalui Program Imunisasi Nasional Covid-19.

Kempen ini akan memaparkan secara terperinci mengenai peranan dan tanggungjawab HPU yang berstatus hospital hibrid Covid-19 bagi membantu pesakit Covid-19 dan pesakit bukan Covid-19 mendapatkan rawatan.

Hospital Pengajar Universiti (HPU) telah memainkan peranan yang sangat penting bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani pandemik Covid-19.

Selain itu, sebagai langkah membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin, KPT telah mengenal pasti beberapa Universiti Awam (UA) dan HPU yang berpotensi dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Model PPV IPT ini mengguna pakai model PPV di bawah KKM yang akan melibatkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT.

Sehingga kini, terdapat 40 buah PPV IPT yang telah beroperasi di seluruh negara. Dalam masa terdekat, KPT merancang untuk membuka dua lagi PPV IPT, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 42 buah PPV IPT yang terdiri daripada pelbagai mod operasi iaitu statik, bergerak dan pandu lalu.

PPV IPT turut giat mengadakan kempen daftar vaksin bukan sahaja kepada semua warga pengajian tinggi, malah penduduk dan masyarakat sekitar.

Saya amat terharu dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh para sukarelawan, petugas kesihatan serta petugas bukan kesihatan dalam membantu masyarakat mendapatkan penerangan mengenai vaksinasi dan seterusnya mendapatkan vaksinasi Melalui kempen Mesti Menang.

Kita akan menggalakkan lebih ramai warga pengajian tinggi dalam kalangan staf, para pelajar dan alumni untuk mendaftar sebagai sukarelawan agar bersama-sama menjayakan sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

Selain itu, salah satu fokus penting dalam kempen ini adalah berkenaan kebajikan para pelajar dan barisan hadapan warga pengajian tinggi. KPT telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kerjasama dengan Sekretariat Food Bank bagi menjenama dan menstruktur semula Inisiatif Food Bank Siswa di IPT.

Melalui kerjasama ini, KPT dan Sekretariat Food Bank berazam untuk memastikan struktur mekanisme penyelarasan bantuan Food Bank Siswa di IPT dibentuk lebih sistematik dan berstrategi.

Inisiatif baharu ini menyasarkan pelajar dalam kalangan B40, asnaf, fakir miskin dan berkeperluan sekali gus menangani isu peningkatan kos sara hidup yang membelenggu kini.

Selain itu, pengisian kempen turut merangkumi topik kesedaran mengenai pematuhan kepada perintah dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa, menggalakkan masyarakat mendapatkan vaksinasi termasuk penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang dizahirkan melalui lagu dan klip video yang dihasilkan oleh KPT bersama KRU Studios.

Klip video ini akan disiarkan melalui platform media sosial dan boleh ditonton di lebih 360 platform penstriman di seluruh dunia seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Deezer dan Joox. Pada majlis perasmian ini, KPT turut akan melancarkan lagu tema ‘Mesti Menang’ ciptaan KRU Music yang akan dimainkan sepanjang kempen berlangsung.

Saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih atas komitmen dan usaha yang diberikan oleh semua pihak bagi menjayakan program ini. Semoga Kempen Mesti Menang ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan untuk bekerjasama bagi membendung virus ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya